'BAM, Zii Jia mesti cari penyelesaian segera'

Zii Jia
Zii Jia
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menggesa supaya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mencari penyelesaian segera kemelut yang melanda pada ketika ini.

“Jika kepentingan negara diutamakan, sudah tentu ada jalan penyelesaiannya.

Pada hemat saya isu di antara BAM dan Lee Zii Jia bukanlah perkara yang rakyat dan para pendokong serta penyokong sukan badminton inginkan ketika ini.

“BAM dan Lee Zii Jia mesti mencuba bersungguh-sungguh mencari jalan penyelesaian untuk isu ini.

Saya akan bertemu dengan kedua belah pihak dalam masa terdekat.

“Kita tidak seharusnya mempertaruhkan masa depan pemain dan kedudukan Malaysia di pentas badminton antarabangsa,” ujarnya di laman Facebooknya pada Jumaat.

BAM sebelum itu memutuskan untuk tidak akan mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam tempoh dua tahun berkuatkuasa 18 Januari 2022.

Tindakan badan induk itu diambil selepas pemain nombor satu negara tersebut menyerahkan surat permohonan keluar dari badan induk itu 11 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Presiden BAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang BAM, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos pada satu sidang media khas pada Jumaat.

Pada masa sama Jahaberdeen juga memaklumkan tindakan sama turut dikenakan terhadap seorang lagi pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei yang meninggalkan BAM pada 11 September lalu dengan tindakan berkuatkuasa 31 Oktober lalu.