Kes Azam Baki: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan panggil SC

Azam Baki - Foto Bernama
Azam Baki - Foto Bernama
A
A
A
SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kewangan dan Ekonomi (PSSC) akan memanggil Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kes pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Memetik Malaysiakini, Timbalan Pengerusinya, Wong Cheng berkata, proses untuk mengadakan siasatan telah dimulakan pada awal Jumaat.

Wong yang juga Ahli Parlimen Subang juga dilaporkan berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin, yang membawa kepada keputusan untuk memanggil SC supaya menjelaskan siasatannya yang baru selesai terhadap Azam.

“Jadi proses sudah bermula, saya bercakap dengan urusetia PSSC pagi ini.

"Sekretariat sedang menulis surat kepada Kementerian Kewangan sebagai ihsan.

"Mereka juga sedang menghubungi semua ahli Parlimen yang terlibat untuk menentukan tarikh dan masa yang sesuai untuk mereka (mengadakan sesi siasatan)," katanya memetik Malaysiakini.

Sementara itu, Wong menerusi ciapan di Twitter berkata, langkah memanggil SC adalah disebabkan kenyataan pihak berkuasa mengenai kes Azam tidak memuaskan dan SC perlu memberikan keterangan dan butiran lanjut.

"Soalan utama yang perlu dijawab oleh SC ialah apakah 'bukti bebas' yang mereka kumpulkan yang kemudian membimbing mereka kepada kesimpulan bahawa Azam Baki tidak melakukan kesalahan.

"Adakah mereka menemu bual Azam Baki? Adakah mereka bercakap dengan mana-mana pihak ketiga lain seperti broker dan jurubank? Dokumen perdagangan apa yang mereka semak?" kata Wong.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, persoalan itu penting untuk dijawab oleh SC, terutamanya sama ada mereka telah menemu bual Azam sebelum menyelesaikan siasatan atau tidak kerana ia akan menentukan sama ada Azam telah berbohong kepada orang ramai apabila Azam mendakwa dia bertindak sebagai penama untuk adiknya.

"Sekiranya SC menemu bual Azam Baki, maka Azam Baki pasti telah meyakinkan SC bahawa perdagangan itu adalah semata-mata miliknya dan bukan bagi pihak adiknya.

"Jika ini yang sebenarnya berlaku, SC akan berada dalam kedudukan untuk tidak membenarkan apa-apa lagi tindakan terhadap Azam Baki," katanya.