Bukan isu janggal UPM mampu hasilkan ramai graduan PhD

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kemampuan Universiti Putra Malaysia (UPM) menganugerahkan seramai 398 Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada tahun ini tidak boleh dijadikan sebagai satu isu yang janggal.

Majlis Presiden Persatuan Akademik (MPPA) dalam kenyataan pada Jumaat berkata, pandangan yang dibangkitkan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin telah menimbulkan persepsi negatif terhadap kualiti UPM.

“Ia sekali gus secara tidak langsung seolah-olah pensyarah dan penyelia yang menyelia calon-calon PhD menyelia dengan sambil lewa dan hanya mementingkan kuantiti berbanding kualiti.

“UPM merupakan universiti awam yang ternama dan sentiasa berada di kedudukan sekurang-kurangnya lima yang terbaik dalam negara serta berkedudukan yang baik sama ada di peringkat Asia mahupun dunia.

“Justeru, ia bukanlah suatu yang janggal sekiranya UPM mampu menghasilkan sejumlah graduan PhD seperti mana yang didakwa,” katanya.

Pada Selasa, Shamsul Iskandar berkata, penganugerahan 398 Ijazah PhD yang dikeluarkan UPM tahun ini menimbulkan tanda tanya kerana jumlah itu dilihat terlalu luar biasa.

Katanya, pertikaian timbul apabila universiti terbaik dunia misalnya hanya menganugerahkan 20 penerima PhD dalam satu-satu masa.

Sementara itu, MPPA menambah, dunia akademia juga sedia maklum, perjalanan untuk melengkapkan pengajian di peringkat PhD bukanlah proses yang mudah dan ringkas serta boleh dianugerahkan sewenang-wenangnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, setiap graduan mesti melalui proses pengajian terutama mereka yang perlu menghasilkan tesis atau disertasi, kemudian perlu diselia sambil tesis tersebut akan melalui proses penilaian sama ada oleh penilai dalam mahupun luar.

"Kemuncaknya setiap graduan perlu melengkapkan pula sesi pembentangan yang dikenali sebagai viva voce dan akhirnya jika lulus, ia perlu disahkan pula di peringkat senat.

“MPPA tidak mahu sekiranya pandangan sebegini tidak ditangani dengan baik secara tidak langsung menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan tenaga pengajar seluruh negara kerana dikhuatiri mampu menimbulkan persepsi negatif bukan sahaja terhadap pengajar di UPM malahan di institusi lain juga.

“MPPA juga tidak mahu melihat isu yang membabitkan universiti awam dilihat sebagai isu politik hanya kerana ia dibangkitkan oleh ahli politik.

“Kami menghormati peranan dan jawatan yang dipangku sebahagian ahli politik malah kami juga tidak mempunyai masalah untuk memberikan pandangan demi melihat negara Malaysia yang kita cintai berada di landasan tepat untuk menjadi negara maju,” jelasnya.

Katanya, kerajaan juga telah menetapkan sasaran tertentu dalam menghasilkan jumlah graduan PhD di mana jumlah graduan terkini masih jauh daripada sasaran yang ditetapkan.

“Walaupun ia dilihat sebagai mengejar kuantiti, namun kami percaya kualiti tetap diutamakan.

“MPPA berharap agar masa akan datang, pandangan yang lebih adil dapat diberikan bagi mengelakkan persepsi negatif dan tindak balas masyarakat sekali gus menimbulkan imej yang tidak baik terhadap pendidikan tinggi negara,” ujarnya.