X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

BNM perkenal dua kemudahan baharu untuk PKS

BNM memperkenalkan Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan dan Kemudahan Peralihan Rendah Karbon di bawah dana BNM masing-masing berjumlah RM1 bilion bagi membantu PKS. Gambar hiasan
A
A

BANK Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (BRF) dan Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) di bawah dana BNM masing-masing berjumlah RM1 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, BRF bertujuan menyokong PKS untuk pulih dan berkembang di samping menguruskan tahap keberhutangan mereka melalui penyelesaian pembiayaan yang inovatif.

Menurutnya, di bawah BRF, PKS boleh mendapatkan pembiayaan ekuiti melalui terbitan saham keutamaan, saham biasa atau sebarang instrumen mirip ekuiti yang sesuai.

“Selain itu, gabungan antara pembiayaan hutang daripada institusi kewangan peserta (IKP) dan pembiayaan ekuiti melalui pembiaya ekuiti pihak ketiga (kewangan campuran).

“BRF tersedia untuk PKS daripada semua sektor ekonomi sehingga maksimum RM5 juta bagi membiayai modal kerja dan perbelanjaan modal dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.

“Kadar efektif di bawah BRF adalah sehingga 3.5 peratus setahun untuk pembiayaan tanpa jaminan atau sehingga lima peratus setahun termasuk sebarang fi jaminan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, beliau berkata, LCTF yang disediakan BNM turut menyokong dan menggalakkan PKS menerapkan amalan kelestarian bagi meningkatkan daya tahan perniagaan.

Jelasnya, di bawah kemudahan itu, institusi kewangan akan menyediakan dana padanan sebanyak RM1 bilion daripada dana mereka sendiri.

“Ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk mencapai sasaran ekonomi pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

“LCTF tersedia untuk PKS daripada semua sektor sehingga maksimum RM10 juta bagi setiap PKS untuk tujuan pembiayaan modal kerja dan atau perbelanjaan modal dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.

“Kadar pembiayaan sehingga lima peratus setahun termasuk sebarang fi jaminan,” ujarnya.

Menurutnya, PKS yang berminat boleh memohon terus daripada bank-bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan peserta yang dikawal selia oleh BNM.

“Terdapat keperluan mendesak bagi PKS untuk menerapkan amalan kelestarian dalam operasi perniagaan masing-masing pada masa hadapan.

“LCTF menggalakkan usaha ini dan menyokong industri kewangan untuk meningkatkan inovasi terhadap produk-produk yang ditawarkan bagi memudahkan perniagaan menerapkan amalan kelestarian dan menyesuaikan semula operasi dan proses perniagaan mereka

Dalam pada itu, Nor Shamsiah menambah, baru-baru ini, BNM telah meningkatkan peruntukan Ciri Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF) sebanyak RM300 juta, menjadikan peruntukan keseluruhan berjumlah RM500 juta.

Katanya, PKS dan perusahaan mikro yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM700,000 bagi setiap PKS dan sehingga RM150,000 bagi setiap perusahaan mikro.

“Tempoh pembiayaan turut dilanjutkan sehingga tujuh tahun. PKS boleh menghubungi BNM melalui bnm.my/LINK untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan DRF,” jelas beliau.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!