Tukang paip curi meter air, SPAN mulakan siasatan

Polis menahan seorang tukang paip di sebuah rumah di Jalan Sultanah Zainab di sini yang disyaki terlibat dengan beberapa kes curi kepala paip dan meter air di belakang premis sekitar sini pada Rabu.
Polis menahan seorang tukang paip di sebuah rumah di Jalan Sultanah Zainab di sini yang disyaki terlibat dengan beberapa kes curi kepala paip dan meter air di belakang premis sekitar sini pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Mana-mana tukang paip berlesen yang melakukan perbuatan jenayah berkaitan perkhidmatan air termasuk mencuri meter, boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 124 (Mengganggu Meter atau Sub Meter) atau Seksyen 125 (Mengganggu Sistem Bekalan Air atau Sistem Pembetungan atau Sebahagian Daripada Sistem Itu).

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata, jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

"Sekiranya tukang paip tersebut merupakan tukang yang berdaftar dan memiliki Permit IPA Jenis A, SPAN boleh menggantung permit tukang paip yang terlibat sehinggalah keputusan kes siasatan diperolehi.

"SPAN memandang serius sebarang perbuatan sabotaj yang boleh menjejaskan perkhidmatan bekalan air termasuklah aktiviti mencuri peralatan air seperti meter air, apatah lagi oleh mereka yang terlibat dalam industri itu sendiri seperti tukang paip,"menurut SPAN dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis Sinar Harian melaporkan, polis menahan di sebuah rumah di Jalan Sultanah Zainab Kota Bharu yang disyaki terlibat dengan beberapa kes curi kepala paip dan meter air di belakang premis.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada pukul 4.30 petang, dan semasa ditahan polis turut menemukan meter air serta pelbagai peralatan membaiki paip bersama suspek.

Mengulas kes tersebut, SPAN juga telah memulakan siasatan terhadap kes tersebut untuk tindakan lanjut.

"Berdasarkan semakan, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) telah merekodkan sejumlah 1202 kes kecurian meter di negeri tersebut dari tahun 2020 hingga 20 Januari 2022," menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Justeru SPAN memohon kerjasama orang awam untuk membantu memastikan peralatan bekalan air tidak disabotaj dan sekiranya terdapat sebarang perbuatan yang mencurigakan terhadap kemudahan air, segera laporkan kepada operator bekalan air atau kongsi maklumat dengan SPAN melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-3885000 atau e-mel ke aduan@span.gov.my.