Kebakaran tapak lupus sampah: Jangan abaikan penduduk terjejas

Musa (dua dari kiri) ketika mendengar keluhan penduduk Kampung Kebun Baru yang terjejas akibat kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.
Musa (dua dari kiri) ketika mendengar keluhan penduduk Kampung Kebun Baru yang terjejas akibat kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kerajaan Negeri Pulau Pinang digesa tidak mengabaikan penduduk yang terjejas akibat kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang berlarutan sejak minggu lalu.

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBSP) seharusnya memberikan maklumat terperinci kepada penduduk terlibat mengenai situasi semasa yang berlaku di tapak pelupusan sampah berkenaan.

Menurutnya, penduduk kini keliru dan resah kerana tidak mengetahui sampai bila terpaksa mengosongkan rumah dan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Sepatutnya kerajaan negeri mahupun pihak yang bertanggungjawab perlu maklumkan kepada penduduk tentang perkembangan terkini dan bukannya setakat mengeluarkan arahan berpindah semata-mata.

“Sudah lebih seminggu kejadian ini berlarutan dan segelintir penduduk ada yang terpaksa mengambil cuti, ada terpaksa menutup kedai dan ini menjejaskan pendapatan mereka," katanya ketika ditemui media selepas bertemu dengan penduduk di Kampung Kebun Baru di sini, pada Jumaat.

Musa berkata, kontraktor pengurusan tapak pelupusan sampah itu juga perlu mengambil tanggungjawab termasuk memberikan pampasan penduduk yang terjejas

Beliau berkata, penduduk dinasihatkan membuat laporan polis atas apa yang berlaku dan pihaknya pula akan mendapatkan khidmat nasihat peguam berhubung isu berkenaan.

“Kita akan bincang apa tindakan atau langkah seterusnya yang boleh diambil untuk membantu memudahkan penduduk.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, Kerajaan Pusat melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) akan turut membantu penduduk yang terjejas selepas kita mendapat maklumat lengkap mereka,” katanya.

Dalam laporan Sinar Harian pada Isnin, majoriti penduduk di sekitar Kampung Kebun Baru dan Kampung Ladang Byram akur untuk berpindah selepas arahan pemindahan dikeluarkan.

Difahamkan, sebanyak 10 keluarga yang tinggal berhampiran dengan tapak pelupusan sampah Pulau Burung telah dipindahkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini sejak Ahad lalu.

Lapan orang termasuk seorang warga emas dan seorang bayi ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap Indah manakala 36 orang termasuk tiga orang warga emas ditempatkan di PPS SK Saujana Indah.