Kenyataan Bersama Kuala Lumpur tingkatkan populasi harimau

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bercadang untuk mengguna pakai Kenyataan Bersama Kuala Lumpur mengenai Pemuliharaan Harimau bagi memulih dan meningkatkan populasi harimau ke dalam habitat harimau yang berpotensi di Asia Tenggara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kenyataan bersama 13 perkara itu akan menyokong pelaksanaan usaha Pelan Tindakan Pemulihan Harimau Asia Tenggara (STRAP) berdasarkan keutamaan yang dipersetujui.

"Penerimagunaan Kenyataan Bersama Kuala Lumpur, STRAP dan Strategi Mobilisasi Sumber akan menyediakan negara-negara yang mempunyai harimau yang berkeliaran bebas untuk menetapkan sasaran tindakan yang realistik dalam usaha mereka untuk mencapai matlamat pemulihan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Menteri-Menteri Asia Ke-4 (AMC4) mengenai Pemuliharaan Harimau yang diadakan secara maya hari ini.

Ismail Sabri turut menyeru negara-negara yang mempunyai harimau yang berkeliaran bebas dan rakan kongsi untuk bekerjasama dalam semangat "keluarga dunia" untuk menyelamatkan spesies haiwan berkenaan kerana kepupusan harimau tidak mengenal sempadan geografi, budaya mahupun politik.

Sementara itu, beliau berkata penilaian Mobilisasi Sumber Kewangan perlu dibincangkan lebih lanjut oleh negara-negara anggota kerana ia akan merangkumi rancangan pembiayaan untuk pemuliharaan harimau yang mungkin digunakan oleh negara Asia Tenggara apabila melaksanakan usaha pemuliharaan harimau.

Ismail Sabri berkata memandangkan usaha pemuliharaan harimau memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan, maka adalah penting untuk menggembeleng sumber teknikal dan kewangan yang mencukupi dalam memastikan pelaksanaan yang berkesan.

Katanya, kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) bagi memberi insentif kepada kerajaan negeri untuk melindungi dan meningkatkan habitat harimau, dengan sejumlah RM130 juta telah diagihkan kepada kerajaan negeri melalui EFT sejak 2019.

"Di peringkat antarabangsa, Malaysia mengambil serius komitmennya terhadap pemuliharaan harimau dan pemuliharaan biodiversiti.

Artikel Berkaitan:

"Kami berbangga menjadi sebahagian pihak dalam senarai panjang konvensyen pelbagai hala berkaitan biodiversiti, termasuk Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) dan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES),” katanya.

Malaysia juga bekerjasama dengan pelbagai agensi antarabangsa termasuk Kumpulan Kerja ASEAN mengenai CITES dan Penguatkuasaan Hidupan Liar (AWG CITES & WE) dan Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) dalam memerangi jenayah perdagangan haram hidupan liar.

Perdana Menteri berkata populasi harimau telah merosot kepada kurang daripada 4,000 ekor di seluruh dunia dan angka itu termasuk spesies terancam Harimau Malaya, haiwan simbol kekuatan dan daya tahan Malaysia yang menghiasi Jata Negara.

Berdasarkan Survei Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan dari 2016 hingga 2020, beliau berkata kurang daripada 150 ekor Harimau Malaya hidup bebas di hutan manakala pakar meramalkan spesies itu akan lenyap dalam tempoh lima hingga 10 tahun jika tindakan strategik tidak dilaksanakan segera.

"Oleh itu, Harimau Malaya telah diberikan perlindungan tahap tertinggi dalam perundangan kita - ‘spesies yang dilindungi sepenuhnya’ di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Lampiran 1 di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Terancam 2008,” katanya.

Inisiatif pemuliharaan harimau lain yang berjaya termasuk Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang memenangi anugerah serta Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (BP3), dengan 167 penjenayah hidupan liar telah ditangkap kerana menyeludup barangan bernilai RM36 juta di bawah kedua-dua program tersebut.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dari 2021 hingga 2025 berjaya, dengan kira-kira 26.21 juta pokok daripada 993 spesies telah ditanam di bawah program tersebut setakat Januari 2022. - Bernama