Pengukuhan sekuriti makanan proses berterusan: Ronald

Ronald ketika berucap pada Majlis Amanat Kementerian Pertanian dan Industeri Makanan (MAFI) di ibu negara pada Jumaat.
Ronald ketika berucap pada Majlis Amanat Kementerian Pertanian dan Industeri Makanan (MAFI) di ibu negara pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus berusaha meningkatkan kedudukan dalam Indeks Sekuriti Makanan Global atau Global Food Security Index (GFSI) kata, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, ini kerana pengukuhan sekuriti makanan negara merupakan proses yang berterusan.

"Untuk rekod, GFSI yang dikeluarkan The Economist Intelligence Unit (EIU) pada tahun 2021, menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-39 dalam kalangan 113 negara seluruh dunia.

"Kedudukan Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Pasifik adalah lapan terbaik manakala kedua terbaik dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara selepas Singapura.

"Namun begitu, pengukuhan sekuriti makanan negara merupakan proses berterusan, dan kita mestilah terus berusaha untuk meningkatkan kedudukan dalam GFSI ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk terus memperkasa sektor agromakanan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12)," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Kementerian Pertanian dan Industeri Makanan (MAFI), di sini pada Jumaat.

Jelas beliau, kerajaan amat komited dalam memperkukuhkan sektor agromakanan negara dengan menambah lagi usaha untuk meningkatkan pengeluaran domestik, perluasan adaptasi teknologi moden serta mengurangkan kebergantungan kepada keperluan import, sekali gus untuk meningkatkan kualiti dan jaminan sekuriti makanan.

Katanya, sekuriti makanan merupakan antara aspek yang diberi perhatian khusus oleh kerajaan dan hal ini jelas diperlihatkan menerusi penubuhan Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara (FSCC).

"Semenjak penubuhan FSCC ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk merapatkan jurang yang dikenalpasti dalam sistem makanan negara, khususnya bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan yang cukup, selamat, bernutrisi dan mampu beli secara berterusan oleh rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Penglibatan wakil kerajaan negeri dalam Jawatankuasa Eksekutif Sekuriti Makanan Negara serta cadangan penubuhan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negara Peringkat Negeri juga menunjukkan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan erajaan Persekutuan dalam menangani isu-isu berkaitan sekuriti makanan negara," katanya.

Pada masa sama, Ronald yakin banyak lagi kejayaan yang mampu dicapai MAFI pada masa akan datang.

"Ini termasuklah Skim Takaful Agromakanan, Pusat Sehenti Kuarantin Negara (One Stop Quarantine Centre), Pelabuhan Tuna, Peningkatan SSL untuk subsektor kritikal, aplikasi teknologi, penumpuan terhadap penanaman jagung untuk mengurangkan import makanan ternakan dan kelapa.

"Selain itu, kaedah baru pegimportan untuk daging sejuk beku, edagang untuk industri hiliran, integrasi data, beralih ke arah subsidi output,keterbukaan terhadap varieti padi dari luar, dan lain-lain, boleh kitacapai dalam tahun-tahun akan datang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2021 yang sepatutnya diadakan pada 21 hingga 23 Disember lalu terpaksa ditangguhkan kerana mengambil kira kejadian bencana banjir yang melanda negara.

Justeru, tarikh baharu HPPNK akan disesuaikan semula dengan mengambil kira tarikh pelaksanaan MAHA 2022.