X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Covid-19: Kes baharu kembali rekod angka 4,000

Kes baharu jangkitan Covid-19 kembali catat angka 4,000 apabila sebanyak 4,046 kes direkodkan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Selepas lebih sebulan, kes baharu positif Covid-19 kembali melepasi angka 4,000 selepas 4,046 kes dilaporkan pada Jumaat.

Kali terakhir negara merekodkan kes melebihi 4,000 adalah pada 34 hari yang lalu iaitu 18 Disember dengan 4,083 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 2,824,973.

"Daripada jumlah kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 32 adalah kategori tiga hingga lima manakala 4,014 kes atau 99.2 peratus lagi kategori satu dan dua," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, terdapat 489 kes import membabitkan 388 rakyat tempatan dan 101 warga asing turut dikenalpasti.

"Sebanyak 3,557 kes merupakan penularan dalam negara yang terdiri daripada 3,449 rakyat tempatan dan 108 warga asing," katanya.

Beliau berkata, seramai 149 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 71 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Bagi kes sembuh pula Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 2,804 kes, sekaligus menjadikan jumlah kumulatif, 2,750,261 atau 97.4 peratus," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM turut mengenalpasti 12 kluster baharu Covid-19.

"Jumlah keseluruhan kluster adalah 6,284 dan 6,064 daripadanya telah tamat dan selebihnya, 220 kluster masih aktif," katanya.

Pada perkembangan lain, beliau berkata, pemantauan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) di Malaysia menunjukkan imuniti seseorang menurun sehingga 20 peratus selepas dua dos vaksin.

"Bagi penerima vaksin Sinovac, berlaku penurunan imuniti sebanyak 40 peratus selepas tiga hingga lima bulan menerima dos kedua," katanya.

Ujarnya, kajian yang dilakukan di pelbagai negara seperti Israel, United Kingdom, dan Chile juga mendapati terdapat penurunan tahap neutralising antibody kepada virus Covid-19 selepas tiga hingga enam bulan menerima dos primer lengkap.

"Sehubungan dengan itu, dos penggalak Covid-19 perlu diberikan selepas beberapa tempoh tertentu untuk memastikan imuniti yang diperolehi kekal pada tahap yang optimum," katanya.

Sejak pemberian dos penggalak bermula pada 13 Oktober lalu, 10,235,759 individu atau 43.7 peratus populasi Malaysia berumur 18 tahun ke atas sudah menerima doa penggalak setakat 20 Januari.

Maklumat terperinci akan dimuat naik ke laman CovidNow: covidnow.moh.gov.my.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!