PKR Selangor nafi wakil rakyat pembangkang 'hilang'

Halimey Abu Bakar
Halimey Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menafikan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa beberapa wakil rakyat pembangkang 'hilang' ketika bencana banjir melanda.

Malah, Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar turut menganggap kenyataan Perdana Menteri ketika banjir melanda beberapa negeri pada 17 Disember lalu itu juga boleh diibaratkan 'meludah ke langit'.

"Apakah penipuan cuba dilakukan Ismail Sabri dengan memberitahu Dewan Rakyat, bahawa beliau bergegas melawat kawasan banjir pada lewat malam ketika musibah melanda untuk membantu mangsa banjir dan ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tidak kelihatan?

"Adakah semata-mata hadir berbaju Melayu dan berada di bilik selesa berhawa dingin untuk mendengar taklimat boleh dianggap membantu?

"Jauh berbeza dengan ahli Parlimen pembangkang seperti Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turun seawal pagi 18 Disember, kelibat Ismail Sabri hanya dilihat pada 19 Disember," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat panas hampir 10 minit apabila Perdana Menteri berkata, beberapa wakil rakyat pembangkang 'hilang' ketika bencana banjir melanda beberapa negeri pada 17 Disember lalu.

Ismail memberitahu Dewan Rakyat, beliau bergegas melawat kawasan banjir pada lewat malam ketika musibah melanda untuk membantu mangsa banjir, bagaimanapun Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang tidak kelihatan.

“Saya tidak tahu, berapa ramai Ahli Parlimen dan ADUN hilang ketika itu. Saya tak tahu rakan-rakan lain (di mana), saya tak nampak mereka bekerja waktu malam itu,” kata beliau yang turut mencetuskan bantahan daripada wakil pembangkang termasuk Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) dan Khalid Samad (PH-Shah Alam).

Artikel Berkaitan:

Malah Dewan Rakyat kemudiannya menjadi 'huru-hara' selepas ahli Parlimen pembangkang bangun membidas kenyataan Ismail yang mengkritik kerajaan negeri Selangor dalam mengurus bencana banjir.

Dalam pada itu, menurut Halimey, kritikan Ismail terhadap kerajaan negeri Selangor dalam mengurus bencana banjir juga menunjukkan yang beliau seorang Perdana Menteri yang tidak layak memimpin negara.

"Mengapa aset kerajaan pusat (Persekutuan) yang bernilai berbilion ringgit tidak digerakkan sejak dari awal banjir melanda melanda negeri Selangor?

"Adakah beliau lupa bahawa saudara (Tan Sri) Noh Omar merupakan Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Selangor sejak November 2021?

"Ini mungkin boleh menjawab persoalan kenapa koordinasi bantuan antara Persekutuan dan negeri terlalu teruk sehingga ada rakyat mati menunggu bantuan yang tak kunjung tiba," katanya.

Sehubungan itu, PKR Selangor mengingatkan Perdana Menteri, ahli Parlimen dan ADUN berpihak kepada kerajaan Persekutuan bahawa nyawa rakyat terkorban akibat banjir tidak mungkin mampu dikembalikan semula.

Namun, menurutnya, kegagalan kerajaan gabungan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional mengurus bencana akan dikenang selamanya oleh rakyat Malaysia.