Usah naratifkan serangan atas nama terorisme agama

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Md Akin menasihatkan serangan di New Zealand yang mengorbankan hampir 50 nyawa tidak dinaratifkan atas nama terorisme agama.

Menurutnya, terorisme adalah jenayah universal yang tidak mengenal mangsa dan pemangsanya.

Tambah beliau, peringatan harus disebar kepada rakyat Malaysia agar tidak melihat insiden itu melalui garis agama dan kaum.

“Sudah tiba masanya kita berganding tangan dan memaut persefahaman untuk sama-sama membantah keganasan tanpa mengira apa jua motif dan latar belakang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, insiden tembakan rambang itu wajar dikecam sekeras-kerasnya atas nama kemanusiaan.

Tegasnya, ia merupakan tindakan psikotik, dilakukan oleh manusia yang bertindak luar batas norma rasional dan akhirnya mengorbankan ramai nyawa.

“Komitmen Kerajaan New Zealand untuk meningkatkan keselamatan ke tahap tertinggi bagi menjamin keselamatan semua masyarakat setempat adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan malah wajar menerima dorongan dari semua pihak.

“Kita mengalu-alukan respon balas kerajaan melalui Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand yang berterusan memantau keadaan dan memberikan sokongan yang bersesuaian kepada seluruh komuniti Malaysia di New Zealand,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, dunia dikejutkan dengan insiden tembakan rambang yang membunuh hampir 50 umat Islam sedang bersiap untuk Solat Jumaat di Christchurch, New Zealand.

Tindakan kejam itu menerima kecaman hebat di seluruh dunia dan menganggap ia merupakan satu tindakan ‘pengganas’.