Thailand keluarkan wang kertas polimer 20 baht bermula 24 Mac

Bank Negara Thailand akan melancarkan wang kertas polimer 20 baht baharu pada 24 Mac, selaras dengan dasarnya ke arah wang kertas lebih mesra alam.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Bank Negara Thailand akan melancarkan wang kertas polimer 20 baht baharu pada 24 Mac, selaras dengan dasarnya ke arah wang kertas lebih mesra alam.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

BANGKOK - Bank Negara Thailand akan melancarkan wang kertas polimer 20 baht baharu pada 24 Mac, selaras dengan dasarnya ke arah wang kertas lebih mesra alam.

Wang kertas polimer baharu itu juga dipertingkatkan mutunya menggunakan teknologi anti-pemalsuan termaju.

Inisiatif menukar wang kertas kepada polimer adalah kerana ia tidak mudah kotor dan tahan lebih lama, kata bank itu menerusi satu kenyataan.

Wang kertas 20 baht merupakan denominasi paling banyak digunakan, justeru ia lebih cenderung rosak dan kotor berbanding denominasi lain, katanya.

Peralihan penggunaan wang kertas kepada polimer juga selaras dengan dasar kemampanan Bank Thailand.

"Kelebihan polimer berbanding kertas adalah ia tidak menyerap kelembapan dan kotoran. Oleh itu, jangka hayat wang polimer lebih lama berbanding wang kertas.

"Ketahanan wang kertas polimer sekali gus dapat mengurangkan keperluan mencetak wang kertas baharu bagi menggantikan wang kertas yang rosak dalam jangka panjang. Pendekatan ini lebih baik untuk alam sekitar,” katanya.

Wang polimer 20 baht baharu mengekalkan tema reka bentuk dan ciri yang sama seperti sebelum ini dan bakal tersedia di semua cawangan bank bermula 24 Mac.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, wang kertas 20 baht sedia ada masih sah digunakan.

Teknologi anti-pemalsuan termaju digunakan bagi memastikan wang polimer baharu sukar dipalsukan.

"Ciri keselamatan tambahan ialah 'tanda pandang telus', yang boleh dilihat dari kedua-dua belah.

"Bahagian bawah pandang telus mempamerkan peralihan warna dari kuning lut sinar kepada merah.

"Bagi golongan cacat penglihatan, ciri tambahan iaitu cetakan nombor kecil '20' yang timbul di bahagian atas boleh disentuh dan dirasai,” katanya.

Bangkok Post melaporkan bahawa bank pusat mencetak kira-kira 1.8 bilion wang kertas setiap tahun dengan 600 juta merangkumi nilai wang kertas 20 baht.

Sehingga 2021, wang kertas 20 baht dalam edaran berjumlah 47 bilion baht. - Bernama