Kementerian Pengangkutan teliti cadangan turun had laju 30km/j

Ka Siong (tengah) bersama penyumbang dana ketika Majlis Pelancaran Kebangsaan Kutipan Dana MCA bagi Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampus UTAR, pada Jumaat.
Ka Siong (tengah) bersama penyumbang dana ketika Majlis Pelancaran Kebangsaan Kutipan Dana MCA bagi Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampus UTAR, pada Jumaat.
A
A
A

KAMPAR - Kementerian Pengangkutan akan meneliti cadangan penurunan had laju 30 kilometer sejam (km/j) di kawasan terpilih di ibu negara seperti dikemukakan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya akan memanggil semua pihak yang berkaitan bagi mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut.

Beliau berkata, cadangan tersebut juga diusulkan oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya had laju di negara ini turut diturunkan.

"Tetapi kita lihat di Malaysia ini, punca kemalangan sebenarnya mempunyai pelbagai faktor dan bukan sahaja berdasarkan kepada kelajuan.

"Kelajuan yang dikatakan daripada 50 kepada 30 kilometer sudah pastinya mendapat reaksi yang pelbagai dari banyak pihak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kebangsaan Kutipan Dana MCA bagi Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampus UTAR, di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Ka Siong berkata, pihaknya akan meneliti semua faktor dari pelbagai sudut bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap cadangan itu.

Pada 12 Januari lalu, Miros dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan kerjasama bagi melaksanakan had laju 30 km/j di zon terpilih di ibu negara dan 50 km/j bagi zon lain.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Miros, Datuk Suret Singh selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah pada 7 Januari lalu.

Pada Mei tahun lalu, Miros mencadangkan had laju had laju 30 km/j bagi kawasan perumahan, bandar dan kampung sebagai sebahagian daripada perancangan keselamatan jalanraya kebangsaan untuk tahun 2021 hingga 2030.

Cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada kempen dijalankan di bawah Minggu Keselamatan Jalan Raya Global PBB ke-6 (UNGRSW) yang menyasarkan pelaksanaan had 30 km/j di kawasan yang menyaksikan pejalan kaki bercampur dengan trafik.

Khairil menerusi kempen tersebut berkata, had laju lebih rendah seperti dicadangkan itu akan membolehkan persekitaran lebih selamat dan sihat untuk kawasan yang membabitkan percampuran antara manusia dan trafik.

Malaysia antara negara peserta mandat 18 resolusi keselamatan jalan raya melalui Deklarasi Stockholm yang dicapai pada Februari 2020 yang menyaksikan 80 menteri berjanji untuk mengurangkan hingga separuh kematian jalan raya menjelang 2030.