Sila log masuk terlebih dahulu.

Premis jual cadar tapi buat dokumen palsu

Suspek warga Iran yang diberkas Jabatan Imigresen Malaysia dipercayai dalang kegiatan pemalsuan dokumen.
Suspek warga Iran yang diberkas Jabatan Imigresen Malaysia dipercayai dalang kegiatan pemalsuan dokumen.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia mengesan helah kegiatan pemalsuan dokumen yang berselindung di sebalik perniagaan menjual cadar dalam operasi khas di sebuah premis di Jalan Tunku Abdul Rahman pada Rabu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kegiatan yang didalangi warga Iran itu dipercayai aktif sejak dua tahun lalu.

Beliau memberitahu, ketika serbuan lelaki itu sedang menyerahkan dokumen yang telah dipalsukan kepada pelanggan di luar sebuah pasar raya di Jalan Tunku Abdul Rahman.

"Siasatan mendapati suspek telah tinggal di Malaysia lebih 30 tahun dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, siasatan lanjut membawa kepada serbuan di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Ampang yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan dan memalsukan dokumen.

Antara dokumen yang dirampas menerusi serbuan yang dijalankan di sebuah premis perniagaan di Jalan Tunku Abdul Rahman pada Rabu.
Antara dokumen yang dirampas menerusi serbuan yang dijalankan di sebuah premis perniagaan di Jalan Tunku Abdul Rahman pada Rabu.

Tambahnya, penguat kuasa turut merampas lapan keping pasport antarabangsa pelbagai negara, 29 keping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang belum dicetak dan dipercayai palsu, cop keluar Jabatan Imigresen Malaysia dipercayai palsu, pelbagai jenis cop, satu unit komputer riba dan satu unit mesin pencetak.

"Selain itu, turut dirampas 24 keping Lesen Memandu Antarabangsa dan wang tunai bernilai RM4000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khairul Dzaimee memberitahu, modus operandi kegiatan ini menyasarkan pelanggan warga asing khususnya warga Iran yang ingin mendapatkan pas dan dokumen untuk tinggal di negara ini.

"Bayaran yang dikenakan bagi setiap pas yang dipalsukan antara RM300 hingga RM500 sekeping melalui secara dalam talian ke akaun bank pihak ketiga yang bersubahat dengan suspek.

"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966," katanya.