PRN Johor: Pas belum putuskan bersama UMNO atau Bersatu

Abdullah Hussin
Abdullah Hussin
A
A
A
JOHOR BAHRU - Perbincangan mengenai kerjasama antara Pas dan UMNO Johor untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang berjalan dan masih belum mempunyai kata putus mengenainya.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin berkata, pihaknya akan membawa perkara tersebut kepada Pas Pusat untuk dipertimbangkan selepas rundingan selesai.

"Setakat ini rundingan masih berjalan dan perjumpaan secara rasmi melibatkan kepimpinan tertinggi Pas Johor dengan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Menteri Besar Johor masih belum dilakukan.

"Ini termasuk perbincangan berkenaan pembahagian kerusi jika PRN dilakukan dalam masa terdekat.

"Kita masih berbincang sama ada bekerja sama dengan UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), setakat ini belum ada keputusan Pas Johor akan bersama-sama siapa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Baru-baru ini, khabar angin bahawa Johor bakal menyaksikan PRN selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar Johor meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Perkembangan itu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi

berbanding 27 kerusi pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pejabat DUN Johor ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis menafikan menerima surat permohonan pembubaran DUN bagi membolehkan PRN diadakan dalam masa terdekat.
Artikel Berkaitan:


Mengulas lanjut, Abdullah berkata, pihaknya secara dasar mahukan Pas, UMNO dan Bersatu bersama-sama dalam satu barisan tetapi ketika ini perkara tersebut dilihat sukar untuk dilakukan.

"Namun apa yang pasti Pas Johor akan tetap bertanding dalam PRN sama ada dengan UMNO atau Bersatu tetapi jumlah kerusi masih belum diputuskan," katanya.