Tiada isu lambakan telur

Saifuddin dan Ahmad Faizal (tengah) bersama sebahagian ahli dan Jawatankuasa Pusat Imami sempena Mesyuarat Agung Dwi Tahunan, hari ini.
Saifuddin dan Ahmad Faizal (tengah) bersama sebahagian ahli dan Jawatankuasa Pusat Imami sempena Mesyuarat Agung Dwi Tahunan, hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menolak dakwaan berlakunya lambakan bekalan telur di pasaran hingga boleh menyebabkan harga barangan itu turun.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan rekod dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pengeluaran telur di negara ini memang sentiasa berada pada paras 120 peratus iaitu mencukupi bagi memenuhi kegunaan domestik dan eksport.

Menurutnya, selain untuk kegunaan domestik, pengeluar telur juga mengeksport ke negara luar terutama Singapura dan Hong Kong.

"Saya tidak istilahkan ia sebagai lambakan atau lebihan kerana pengusaha mempunyai komitmen dan terikat untuk jangka masa panjang dengan negara-negara pengimport, mereka punya tujuan dalam menjamin bekalan mencukupi untuk dalam negara dan eksport.

"Jadi kita tak boleh katakan lambakan ini akan menyebabkan penurunan harga telur kerana keadaan sekarang bekalan itu adalah mencukupi," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini tiada laporan isu lambakan telur diterima baik daripada pemborong mahupun peruncit.

Katanya, dalam menentukan kawalan harga telur, KPDNHEP telahpun menyenaraikan telur gred A, B dan C dalam Skim Kawalan Harga Barang setiap kali tiba musim perayaan.

"Ini jaminan kita berikan (kawalan harga), jadi baik kepada pemborong atau peruncit, mereka tidak boleh menjual telur melepasi harga siling yang ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada musim perayaan Tahun Baharu Cina lalu, harga maksimum runcit telur ayam gred A ditetapkan pada kadar 44 sen manakala gred B adalah 43 sen dan gred C 42 sen sebiji.

Terdahulu Saifuddin hadir ke Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Perwakilan Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia (Imami) di Dewan Seri Tanjung Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), Behrang yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.