Teruk dikecam, MPKj turun papan tanda Jawi 'terbalik'

MPKj bertindak menurunkan papan tanda memaparkan tulisan Jawi ‘terbalik’ yang dipasang di beberapa kawasan selepas teruk dikecam.
MPKj bertindak menurunkan papan tanda memaparkan tulisan Jawi ‘terbalik’ yang dipasang di beberapa kawasan selepas teruk dikecam.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bertindak menurunkan papan tanda memaparkan tulisan Jawi ‘terbalik’ yang dipasang di beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu selepas teruk dikecam banyak pihak.

Dalam masa sama, MPKj merakam penghargaan kepada penduduk yang membuat aduan berhubung perkara itu di laman Facebook rasmi PBT itu, pada Jumaat selepas menurunkan papan tanda berkenaan.

“Pihak MPKj telah mengambil tindakan berkaitan gambar papan tanda yang tular dan telah menanggalkan semula papan tanda tersebut.

“Terima kasih kepada penduduk yang telah membuat aduan,” katanya di Facebook rasmi MPKj selepas kesalahan itu mendapat banyak perhatian serta kecaman netizen di media sosial.

MPKj turut memuat naik dua keping gambar menunjukkan papan tanda yang memaparkan tulisan Jawi 'terbalik' itu telah ditanggalkan dari tiang berkenaan.

Berdasarkan gambar tular, papan tanda Jalan Dana Permai, Semenyih di bawah pentadbiran PBT itu ditulis dari kiri ke kanan daripada yang sepatutnya iaitu dari kanan ke kiri, sekali gus mengelirukan orang ramai.

MPKj turut berkongsikan tangkap layar seorang pengguna Twitter bernama Mohammad Faeez Harith yang berkongsi kesilapan pada papan tanda tersebut.

Malah MPKj turut memuatnaik tangkap layar Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau Lando Zawawi yang mengulas isu sama.

Artikel Berkaitan:

“Ni la akibat bagi 'job' kat kekawan betui tak," catat Londo dengan mengakhiri komen dengan tanda pagar #MajlisPerbandaranKajang?