'Kenapa nak sangat buat PRN Johor'

Wan Saiful (tengah) hadir menyerahkan bantuan PTPTN Prihatin 2022 di Masjid Bani Hashim, Kariah Hosba, pada Jumaat.
Wan Saiful (tengah) hadir menyerahkan bantuan PTPTN Prihatin 2022 di Masjid Bani Hashim, Kariah Hosba, pada Jumaat.
A
A
A

JITRA - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dianggap tidak relevan buat masa ini kerana pelbagai isu sedang membebani rakyat antaranya pandemik Covid-19, banjir dan masalah ekonomi namun ada pihak dilihat bersungguh-sungguh supaya ia diadakan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan berkata, parti tersebut bersama rakan-rakan parti dalam Perikatan Nasional (PN) melihat PRN bukan menjadi keutamaan buat masa ini kerana tidak kena pada masanya.

"Bagi saya, bukan masa yang betul (untuk adakan PRN Johor) dan kami dalam Bersatu, PN, tidak pernah minta supaya ada PRN.

"Tapi saya tidak faham kenapa ada orang berminat sangat hendak adakan PRN ini. Mungkin ada agenda di sebaliknya. Jadi, kita serah kepada mereka (rakyat) untuk buat penilaian," katanya dalam sidang akhbar semasa ditemui di Program Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Prihatin 2022 di Masjid Bani Hashim, Kariah Hosba, dekat sini, pada Jumaat.

Wan Saiful yang juga Pengerusi PTPTN mengulas situasi politik di Johor berikutan PRN di negeri tersebut berkemungkinan diteruskan.

Menurutnya, jika PRN tidak dapat dielakkan, Bersatu sedia berdepan PRN itu dengan kerjasama empat komponen parti lain dalam PN.

Katanya lagi, Bersatu di peringkat pusat juga diarahkan sentiasa bersiap-sedia sekiranya situasi tersebut benar-benar berlaku di Johor.

Pada Khamis, media melaporkan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad memberikan bayangan PRN Johor bakal diadakan tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Hasni memberi jaminan PRN tidak akan mengganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri jika dilaksanakan dalam masa terdekat.

Beliau yang Pengerusi UMNO Johor berkata, pelbagai program yang dirancang kerajaan negeri terutama pelbagai inisiatif yang dibentangkan dalam Bajet Johor 2022 akan berjalan seperti dirancangkan walaupun PRN diadakan.