'Macau, Love Scam urusniaga tidak berakhlak'

Sindiket penipuan atau dikenali dengan istilah scammer yang berleluasa ketika ini disifatkan sebagai urusniaga tidak berakhlak. - Gambar hiasan
Sindiket penipuan atau dikenali dengan istilah scammer yang berleluasa ketika ini disifatkan sebagai urusniaga tidak berakhlak. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Sindiket penipuan atau dikenali dengan istilah scammer yang berleluasa ketika ini disifatkan sebagai urusniaga tidak berakhlak.

Justeru, khutbah Jumaat di Perak pada hari ini mengingatkan umat Islam supaya tidak mudah terpedaya apatah terlibat dalam sindiket penipuan yang merupakan jenayah kolar putih bentuk baharu.

Urusniaga berunsur penipuan itu dilakukan oleh golongan yang mahir menggunakan teknologi komunikasi dan elektronik dengan menghubungi mangsa melalui talian.

Sindiket secara licik memperdayakan mangsa dengan mendapatkan maklumat seterusnya mengubahsuai serta memalsukan data.

"Islam mencela perbuatan menipu.

Perbuatan menipu bukan hanya sangat tercela di sisi Islam, malah turut dicela dalam pelbagai budaya dan pegangan agama.

"Perbuatan menipu dengan melakukan pelbagai muslihat hingga ke peringkat mengambil harta orang lain dan menyebabkan orang lain menghadapi kesusahan merupakan perbuatan jenayah," jelas teks khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menurut teks khutbah itu, sepanjang tahun tahun 2021 sebanyak 1,298 kertas siasatan berkaitan aktiviti scammer dibuka oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Polis Perak mengakibatkan kerugian lebih RM32 juta yang ditanggung oleh mangsa.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti modus operandi atau kaedah digunakan sindiket penipuan termasuklah Macau Scam, Love Scam, penipuan bungkusan, rakan WhatsApp, tawaran pekerjaan atas talian, skim pinjaman palsu dan skim pelaburan palsu.

"Ramai anggota masyarakat telah menjadi mangsa kepada sindiket urus niaga yang tidak berakhlak ini.

Dilaporkan ramai yang telah hilang wang simpanan akibat ditipu dan ada pula yang kini terpaksa menghadapi beban hutang yang besar.

Terkini dilaporkan telah ada pula iklan yang menawarkan pakej haji dengan potongan harga menarik.

"Oleh itu, ummah dinasihatkan berwaspada terhadap tipu muslihat dilakukan dan perlu mengambil langkah berhati-hati serta teliti sebelum membuat sebarang bentuk muamalah harta," katanya.

Sementara itu, mimbar turut mengingatkan jemaah bahawa tiada istilah cepat kaya kerana kekayaan tidak boleh diperoleh dengan begitu mudah dalam sekelip mata seperti menggosok lampu Aladin.

Jelasnya, orang ramai juga tidak perlu ghairah membuat keputusan secara terburu-buru ketika menerima tawaran yang kedengaran terlalu baik atau istimewa.

Sebaliknya, mereka perlu membuat semakan dengan rakan atau pihak-pihak berkuasa yang lebih berpengetahuan.

Jika terdapat sebarang panggilan mencurigakan, laporan segera perlu dibuat kepada pihak polis.