Mahdzir bidas Anwar, tak perlu panjangkan isu menteri 'hilang'

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

PORT DICKSON - Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid membidas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa ramai menteri hilang semasa banjir melanda beberapa negeri, pada Disember tahun lalu.

Beliau berkata, soal itu tidak perlu lagi dipanjangkan dan apa yang penting ketika ini ialah fokus memastikan bantuan sampai kepada mereka yang terjejas.

"Cerita tentang menteri hilang ini, banyak orang hilang. Jadi tak perlulah kita nak huraikan panjang.

"Awak salahkan orang pun, orang di sebelah sana pun hilang juga. Jadi kita tak payah cakap pasal hilang," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas(BPBKA) Dewan Undangan Negeri(DUN) Sri Tanjung Parlimen Port Dickson di sebuah dewan di sini pada Jumaat.

Menurut Mahdzir, rakyat yang akan membuat penilaian tentang siapa yang berada di hadapan untuk membantu mangsa banjir.

Sebelum itu Sinar Harian melaporkan yang Anwar mendakwa ramai menteri yang hilang semasa banjir melanda beberapa negeri pada Disember lalu.

Beliau berkata, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turun di lapangan semasa banjir, tetapi menteri kabinet sebaliknya.

"Walaupun mesyuarat diadakan, tetapi banyak menteri hilang. Tidak dilihat di lapangan. Betul, Perdana Menteri ada. Tetapi menteri hilang dan ini bukan saya sebut di sini.

Artikel Berkaitan:

"Selepas sidang Parlimen saya beritahu Perdana Menteri ada yang memilih untuk menjalani umrah. Ini dia (menteri) yang ajar kita Fiqh Al-Aulawiyyat. Fiqh (bermaksud) ikut keutamaan.

"(Tetapi) rakyat mati, rumah hanyut dan kita pilih untuk melaksanakan umrah. Hal-hal ini mesti dibetulkan," katanya semasa berucap pada Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggal Keempat di Dewan Rakyat pada Khamis.