Isu KWSP: Asyraf Wajdi persoal kenyataan Anwar

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikatakan tidak boleh diberi laluan mudah kerana mahu menjamin masa depan pencarum.

Asyraf Wajdi berkata, Seksyen 54 Akta KWSP di bawah sub-seksyen 54 (k), 54(l) dan 54(m) jelas membenarkan pengeluaran untuk penuhi keperluan serta kelangsungan hidup pencarum.

"Apakah KWSP satu-satunya cara untuk menjamin keselamatan hidup hari tua? Apakah jaminan untuk hidup hari tua jika rakyat hari ini amat terdesak untuk penuhi keperluan hidup diri dan keluarga?

"Rakyat hakikatnya rata-rata menuntut simpanan mereka sendiri hari ini bukan saja-saja, ada yang mula dihalau dari rumah kerana tak dapat bayar sewa, ditarik kereta dan motor kerana sudah tidak mampu bayar ansuran dan berhutang keliling pinggang untuk penuhi keperluan hidup.

"Ramai yang tertekan memikirkan bagaimana nak pastikan makanan di atas meja terus terhidang buat keluarga dan ramai juga hilang punca pendapatan, hilang kerja akibat pandemik," katanya dalam hantaran di Facebooknya, pada Jumaat.

Ketika Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggal Keempat di Dewan Rakyat pada Khamis, Anwar berpendapat, pengeluaran KWSP tidak boleh diberi laluan secara mudah kerana ia adalah jaminan masa depan pencarum.

Anwar berkata, jika wang tersebut dibenarkan untuk pengeluaran hari ini, pencarum tidak mempunyai jaminan keselamatan hidup selepas lima hingga enam tahun bersara.

Dalam pada itu Asyraf Wajdi berkata, tidak semua pencarum yang terjejas akibat pandemik mendapat bantuan kerajaan dan jika ada, tidak mencukupi.

Artikel Berkaitan:

"Kalau dapat pun tak mencukupi sedangkan mereka tergolong di kalangan 6.83 juta pencarum yang mempunyai wang simpanan KWSP melebihi RM10 ribu, bahkan beratus ribu.

"Percaya dan yakinlah bahawa konsep rezeki bukannya diukur atas nilaian banyak atau sedikit tabungan KWSP.

"Pun begitu, ikhtiar juga tidak pernah dinafikan, malah pelbagai justifikasi dan hujah ekonomi juga telah banyak kali saya berikan," katanya.

Dalam pada itu Asyraf Wajdi menegaskan, keutamaan pada hari ini adalah untuk mengelakkan mudarat besar yang dihadapi rakyat.

Katanya, kebenaran pengeluaran kali terakhir wang simpanan itu demi kelangsungan hidup hanyalah mudarat kecil ditanggung pencarum.

"Bahkan bagaimana cara untuk menampung kembali simpanan peribadi dan kantong KWSP secara keseluruhan juga telah beberapa kali dihujahkan," tegasnya.

Asyraf Wajdi konsisten memperjuangkan isu pengeluaran i-Citra KWSP sebanyak RM10,000 secara 'one off' bagi kelangsungan hidup rakyat susulan pasca pandemik.