Idris serah watikah pelantikan enam ahli RCI Tabung Haji

Idris Ahmad (tengah) bersama ahli jawatankuasa RCI TH.- Foto Facebook Idris
Idris Ahmad (tengah) bersama ahli jawatankuasa RCI TH.- Foto Facebook Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menyerahkan watikah lantikan kepada enam ahli jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Idris berkata, pelantikan ahli jawatankuasa itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Penubuhan RCI Tabung Haji merupakan hasrat ramai pihak termasuklah diri saya. Tabung Haji merupakan sebuah institusi kewangan Islam yang lama di tanah air perlu dijaga dan dipertahan.

"Maka dengan izin ALLAH pada pagi ini saya bersama Datuk Marzuk Shaary telah diamanahkan untuk menyerahkan watikah pelantikan kepada kesemua ahli anggota RCI Tabung Haji," katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif, dilantik sebagai pengerusi manakala lima lagi ahli RCI itu ialah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, dan Pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Seterusnya, bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Unishams) yang juga Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (SC), Prof Dr. Asmadi Mohamed Naim; serta Akauntan Bertauliah yang juga Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi Tabung Haji.

Idris berkata, Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan RCI TH turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Rakun dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Hakimah Yusof.

Artikel Berkaitan:

"Doa saya agar Allah SWT memandu setiap gerak di dalam memikul amanah yang cukup besar dan berat ini. Semoga Allah memberikan kebaikan kepada kita semua," katanya.