Qatar, Malaysia bincang isu kemanusiaan di Afghanistan

Kamarudin Jaffar - Gambar portal Kementerian Luar Negeri
Kamarudin Jaffar - Gambar portal Kementerian Luar Negeri
A
A
A

DOHA - Kerjasama dalam perihal kemanusiaan di Afghanistan antara perkara yang disentuh ketika pertemuan antara Penolong Menteri Luar Qatar Lolwah Mohammed Rashid al Khater dan Timbalan Menteri Luar Malaysia Datuk Kamarudin Jaffar.

Perbincangan ini dilakukan ketika lawatan Kamarudin ke Doha pada Khamis.

Menurut Agensi Berita Qatar (QNA) yang memetik kenyataan Kementerian Luar Qatar, antara perkara lain yang disentuh ketika pertemuan itu adalah perkembangan terkini di Afghanistan, terutama isu-isu berkaitan dengan keselamatan, politik dan ekonomi.

Kedua-dua pihak turut membincangkan hubungan kerjasama dua hala antara Qatar dan Malaysia serta cara menyokong dan memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.

Kamarudin juga merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Qatar atas usaha dan peranan pentingnya dalam memudahkan operasi pemindahan dari Afghanistan.

Sementara itu, Jurucakap Pejabat Politik Taliban di Doha Dr Muhammad Naim turut bertemu Kamaruddin dan delegasinya.

Menerusi ciapan Twitter, Dr Muhammad Naim berkata dalam pertemuan itu, pelbagai isu politik, ekonomi dan berkaitan dua hala dibincangkan secara terperinci.

“Kami berkongsi dengan Timbalan Menteri itu mengenai perkembangan terkini di Afghanistan khususnya isu keselamatan, politik dan ekonomi, dan kami turut berkongsi isu berkaitan lain seperti hak asasi manusia, hak wanita dan tadbir urus yang baik,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Timbalan Menteri Luar Malaysia itu memberi jaminan akan meneruskan kerjasama dan bantuan kepada rakyat Afghanistan.

Naim juga memberitahu, kedua-dua pihak menyuarakan harapan agar hubungan antara Afghanistan dan Malaysia akan terus berkembang agar dapat meneruskan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan yang disampaikan Malaysia dan hasratnya untuk meneruskan hubungan baik dengan Afghanistan.

Malaysia pada ketika ini mengambil pendirian berhati-hati dan sedang meneliti perkembangan terkini di Afghanistan selepas Taliban menguasai negara itu setelah mengambil alih Kabul pada 15 Ogos lepas.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat sebelum ini berkata sehingga kini masih tiada negara luar yang mengiktiraf kerajaan sementara Taliban termasuk negara-negara jiran sekeliling Afghanistan.

Beliau berkata terdapat beberapa pertimbangan atau faktor yang perlu diperhalusi sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad berhubung isu pengiktirafan termasuk tahap penerimaan rakyat Afghanistan sendiri terhadap penguasaan dan penubuhan kerajaan oleh Taliban di negara itu. - Bernama