Pura-pura pengsan elak ditahan polis

Lelaki berpura-pura pengsan ketika ditahan ketika Op Tapis di Kampung Pandan, pada Jumaat.
Lelaki berpura-pura pengsan ketika ditahan ketika Op Tapis di Kampung Pandan, pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki berpura-pura pengsan untuk mendapatkan ihsan polis selepas ditahan dalam satu serbuan sarang penagihan dadah di Kampung Pandan di sini, pada Jumaat.

Lelaki tempatan itu dilihat terlantar selepas merebahkan badannya ketika polis mahu membuat pemeriksaan terhadap individu yang ditahan bagi kesalahan penyalahgunaan dadah di lokasi berkenaan.

Dalam serbuan menerusi Op Tapis oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor yang dilaksanakan bermula jam 3 pagi hingga 11 pagi itu, seramai 220 individu termasuk tiga lelaki warga asing telah diberkas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua ditahan berusia dalam lingkungan 21 hingga 42 tahun.

"Operasi ini dijalankan bagi membersihkan kawasan penempatan yang mana kita tahu menjadi antara lokasi panas bagi kumpulan penagih dan pengedar dadah.

Kamarul Zaman (kanan) memeriksa antara individu yang ditahan atas kesalahan penyalahgunaan dadah di Kampung Pandan, pada Jumaat
Kamarul Zaman (kanan) memeriksa antara individu yang ditahan atas kesalahan penyalahgunaan dadah di Kampung Pandan, pada Jumaat

“Kita akan terus membuat operasi pembersihan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mencari jalan penyelesaian membanteras kegiatan dadah di kawasan ini," katanya ketika sidang media selepas Op Tapis di Kampung Pandan di sini, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan dibawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Ujarnya, Op Tapis itu dijalankan di seluruh kontinjen Johor melibatkan 38 pegawai dan 292 anggota yang melakukan serbuan di lokasi panas di seluruh negeri ini.

"Kita masih lagi menjalankan siasatan bagi mengesan sumber pengedar dadah ini memperolehi bekalan dadah.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan terdapat kira-kira 20 lokasi panas di seluruh Johor yang dikaitkan dengan kegiatan ini, bagaimanapun mereka ini sentiasa berpindah randah untuk mengelakkan diri dari ditangkap,” katanya.