'Boleh naik harga tapi jangan catut'

Rosol - Foto Bernama
Rosol - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Susulan harga barangan mentah yang semakin meningkat, peniaga makanan dibenarkan untuk menaikkan harga jualan mereka dengan syarat tiada sebarang unsur mencatut.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid pada Jumaat berkata, terdapat keluhan dan rungutan daripada peniaga yang mengatakan barang makanan yang dijual mereka terpaksa dinaikkan harga kerana barang mentah yang mereka terima hari ini sudah terlalu tinggi.

“Mereka (peniaga) boleh menaikkan harga, tetapi keuntungan yang dapat tidak boleh terlalu tinggi. Peniaga memang mahu untung tapi janganlah melampaui keuntungan yang sebenarnya.

“Kita lakukan sesi libat urus dan di kementerian kita menjaga dari sudut perdagangan dan pengguna. Kita mahu peniaga berniaga dengan beretika dan pengguna tidak teraniaya,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Rosol berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan dan pematuhan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Komuniti Stutong yang telah bermula sejak 7 Disember lalu sehingga 4 Februari depan.

Turut hadir, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng.

Sementara itu, bagi menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam yang dijangka timbul selepas SHMKM tamat, Rosol berkata, KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), telah mengeluarkan lebih daripada 20 Permit Kelulusan (AP) untuk mengimbangkan harga dalam pasaran.

Mengenai SHMKM, Rosol berkata, kerajaan akan menilai semula kedudukan harga barang dan inflasi berdasarkan input dari Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), Kementerian Kewangan dan MAFI, sebelum memutuskan sama ada untuk melanjutkan skim itu atau sebaliknya - Bernama

Artikel Berkaitan: