Bersih 2.0 kecewa keputusan kekal Ronald Kiandee

Dr Ronald Kiandee
Dr Ronald Kiandee
A
A
A
SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) kecewa dengan tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang secara unilateral memutuskan bekas Ahli Parlimen UMNO, Dr Ronald Kiandee kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan berkata, Ronald Kiandee tidak seharusnya diberikan tanggungjawab memegang jawatan itu selepas beliau menyertai Bersatu semalam, sekaligus menjadi sebahagian daripada gabungan parti pemerintah.

“Apabila ahli parlimen pembangkang dilantik sebagai Pengerusi PAC ia akan dapat memastikan parti pemerintah tidak dapat mempengaruhi agenda PAC. Sepatutnya skandal 1MDB menjadi pengajaran utama kepada kepentingan PAC untuk rentas parti serta tidak diketuai oleh anggota daripada parti kerajaan.

“Mandat PAC adalah untuk menyemak semua akaun awam dan memeriksa laporan Ketua Audit Negara.

“PAC mempunyai kuasa untuk menyiasat semua urusan kerajaan dengan memanggil menteri Kabinet dan ketua agensi kerajaan untuk menjelaskan sebarang kemusykilan pihak jawatankuasa sendiri mahupun oleh orang ramai,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan PH haru kembali kepada perjuangan asal bahawa pembangkang harus menerajui PAC bagi membolehkan semak dan imbang dilakukan bukannya sekadar janji.

“Bersih 2.0 menggesa kerajaan PH untuk menepati kesemua janji manifesto mereka seterusnya menyegerakan pindaan undang-undang untuk menginstitusikan kebebasan institusi awam yang utama supaya mereka dapat mengawal dengan berkesan penyalahgunaan kuasa oleh cabang eksekutif seterusnya melindungi kepentingan orang ramai.

“Sekiranya Perdana Menteri tidak membatalkan keputusan beliau untuk mengekalkan Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC, kredibiliti kerajaan PH dan kehormatan Parlimen akan tercemar dan terjejas.

“Legasi Dr Mahathir kepada negara sebelum beliau berehat seharusnya dengan mengembalikan kebebasan institusi awam dan bukannya mengekalkan kesetiaan mereka kepada Perdana Menteri semata-mata,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan tetap dengan pendirian beliau bahawa jawatankuasa PAC akan tetap diketuai oleh Ronald Kiandee.

Jelasnya lagi, semua komponen dalam PH bersetuju bahawa Ronald, yang menyertai Bersatu semalam, akan terus mempengerusikan PAC.

Semalam, pemimpin PH, Hannah Yeoh dan Nurul Izzah Anwar menggesa agar PAC dipengerusikan oleh anggota parlimen pembangkang seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH pada PRU lalu.