Barang percuma di Teluk Chempedak

Barangan percuma untuk semua.
Barangan percuma untuk semua.
A
A
A

KUANTAN - Lebih 30 gerai barangan percuma berupa pakaian, makanan, permainan dan barangan rumah, habis dalam tempoh kurang 10 minit pada program amal 'Free Market' di Pantai Teluk Chempedak di sini, pagi tadi.

Penyelaras Pandu Puteri Dewasa Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Nik Nor Asima Ariffin berkata, barangan percuma tersebut diletakkan di atas hamparan tikar di kawasan terbuka, mudah orang ramai bebas mengambilnya.

Menurutnya, program anjuran Pandu Puteri Polisas ini turut mendapat penyertaan 180 Tunas Pandu Puteri dari sekolah rendah seluruh Pahang.

"Pandu Puteri telah memulakan gerak kerja seminggu lalu dengan mengumpulkan barangan tersebut menerusi kakitangan Polisas dan guru-guru.

"Ada juga kalangan ibu bapa dari Tunas Pandu Puteri yang menyumbang pakaian, novel, majalah, beg kasut dan sebagainya untuk program yang dianjurkan sempena Program Tunas Pandu Puteri Challenge 2019, di sini," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

No Image Caption

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pandu Puteri Malaysia (Cawangan Pahang) berkata, program ini sebahagian daripada program penilaian kokurikulum Polisas Semester 3 bagi Pandu Puteri dan program pertama pembukaan tirai 2019.

"Pandu Puteri juga mengedarkan brosur ke kampung dan kawasan yang dikenalpasti untuk menjemput mereka datang ke Teluk Chempedak mendapatkan barang percuma ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kerana membenarkan penggunaan tapak secara percuma," katanya.

Tambahnya, dengan sambutan yang sangat menggalakkan ini, tidak menolak kemungkinan akan dijalankan sekali lagi di mana kaedah akan diperhalusi dengan beberapa penambahbaikan.

Selain Free Market, turut diadakan adalah aktiviti lain seperti Sejarah Teluk Chempedak, Simpulan dan Ikatan, Boneka Golliwog, Girl Guide Sketching dan Cabaran Layang Layang.

Program disertai 280 peserta termasuk Pandu Puteri, Tunas, kakitangan Polisas dan guru.