Kita sedia maklum implikasi tidak divaksin

Keperluan mengambil vaksin Covid-19 termasuk dos penggalak tidak boleh dipandang ringan atau negatif kerana ia adalah langkah perlindungan diri daripada jangkitan virus yang sentiasa bermutasi. Gambar hiasan
Keperluan mengambil vaksin Covid-19 termasuk dos penggalak tidak boleh dipandang ringan atau negatif kerana ia adalah langkah perlindungan diri daripada jangkitan virus yang sentiasa bermutasi. Gambar hiasan
A
A
A

KEPERLUAN mengambil vaksin Covid-19 termasuk dos penggalak tidak boleh dipandang ringan atau negatif kerana ia adalah langkah perlindungan diri daripada jangkitan virus yang sentiasa bermutasi.

Namun, wujud kebimbangan segelintir masyarakat untuk mengambil dos penggalak selepas lengkap menerima dua dos suntikan.

Jumlah rakyat Malaysia yang mengambil dos penggalak juga dilihat masih rendah.

Mungkin kerana dos penggalak disyorkan tetapi tidak diwajibkan.

Setakat 16 Januari lalu, seramai 9,364,326 individu atau 40 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia telah menerima dos penggalak.

Justeru, kerajaan harus merintis usaha untuk menggalakkan, mendidik, memotivasi dan memujuk agar lebih ramai rakyat Malaysia mengambil dos suntikan penggalak.

Kebimbangan orang ramai menerima vaksin campuran sebagai dos penggalak perlu ditangani secepat mungkin bagi membendung risiko peningkatan kes.

Hapuskan persepsi bahawa dua dos vaksin sudah mencukupi untuk ketahanan diri atau menganggap pengambilan dos penggalak adalah konspirasi syarikat farmaseutikal membuat lebih banyak wang dan keuntungan.

Artikel Berkaitan:

Kajian menunjukkan perlindungan diri terhadap Covid-19 berkurangan dari masa ke masa atau istilahnya imuniti berkurangan.

Tahap antibodi menjadi lebih rendah selepas tiga hingga sembilan bulan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 16 Januari lalu turut menyarankan orang ramai segera mendapatkan dos penggalak sebagai perlindungan diri dan keluarga.

Kata beliau, ia juga sebagai satu daripada usaha bagi umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Maka, bagi yang layak menerima dos penggalak, dapatkanlah demi kesihatan diri, keluarga dan masyarakat, sama seperti tujuan pengambilan dua dos sebelum ini.

Walaupun vaksin tidak menjadikan diri kebal sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita ada perlindungan daripada jangkitan.

Janganlah merungut atau mengeluh kerana perlu divaksin lagi.

Kita sedia tahu implikasi tidak divaksin itu lebih besar sehingga membawa kematian.