Air surut: Sungai Golok bagaikan pesta

Bagaikan satu pesta suasana orang ramai mandi manda di Sungai Golok ketika air cetek.
Bagaikan satu pesta suasana orang ramai mandi manda di Sungai Golok ketika air cetek.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Penyusutan paras air Sungai Golok akibat cuaca panas dan kering ketika ini dijadikan peluang oleh penduduk tempatan untuk berkelah serta mandi-manda di kawasan berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian di Sungai Golok mendapati, kawasan yang sebelum ini sunyi bertukar menjadi ‘tapak pesta’ seolah-olah taman tema terbuka selepas penyusutan paras air sungai.

Seorang penduduk Ibrahim Abdullah, 45, berkata, orang ramai mula membanjiri kawasan berkenaan sejak Rabu lalu, selepas paras air Sungai Golok makin surut.

"Bilangan orang makin bertambah masuk pada cuti hujung minggu," katanya.

Suasana di Sungai Golok yang dipenuhi orang ramai.
Suasana di Sungai Golok yang dipenuhi orang ramai.

Menurutnya, bukan sahaja penduduk tempatan, malah rakyat Thailand turut mengambil kesempatan 'berpesta' di kawasan berkenaan.

Katanya, pesta ini dapat dilihat setiap kali musim kemarau.

Mengikut laporan portal infobanjir.water.gov.my paras air Sungai Golok ketika ini berada pada tahap 3.37 meter berbanding normal iaitu 5 meter.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Paras air Sungai Golok susut

Menerusi laporan Sinar Harian 4 Mac lalu, beberapa kawasan Sungai Golok mulai kering di beberapa buah pangkalan haram sekitar pekan Rantau Panjang dan Bukit Lata (Mundok).

Beting pasir yang sebelum ini tenggelam di dasar sungai mulai dapat dilihat dengan mata kasar secara jelas.

Sementara itu, seorang pengunjung, Azmi Nuh, 43, mengambil peluang tersebut untuk berkelah bersama keluarga.

"Saya datang dari Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas semata-mata nak berkelah di sini.

"Pasir Sungai Golok yang lembut dan airnya bersih, sebab tu saya bawa keluarga ke sini," katanya yang menantikan aktiviti ini setiap tahun.

Panas² ni jomlah kita mandi manda di Sungai Golok! . Meh² pesta air boh #sinarharianrantaupanjang #rantaupanjang #kelantan #pestaair #sungaigolok

Posted by Sinar Harian Edisi Kelantan on Friday, March 15, 2019