X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Bank jangan tekan peminjam

Rosland
A
A

SHAH ALAM - Bank perlu memberikan peluang terutama dalam menstrukturkan kembali pembayaran pinjaman bulanan ketika pasca pandemik ini untuk mengelakkan lebih ramai peminjam muflis.

Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd Arif berkata, kebanyakan bank tidak cuba memahami masalah yang dihadapi dan hanya tahu untuk membuatkan peminjam menjadi muflis.

"Contohnya, peminjam dulu mungkin pembayar hutang yang bagus dan sudah melunaskan pembayaran dengan baik untuk tempoh enam tahun.

Tak akan hanya kerana dua tahun tak bayar terus nak mufliskan.

"Inilah kelemahan bank dan bank seharusnya beri peluang kepada peminjam serta berfikiran positif.

"Mereka perlu tanya masalah peminjam dan panggil untuk berbincang.

Jika tak mampu bayar jumlah pinjaman bulanan seperti dulu, berapa peminjam itu mampu.

Itu yang sepatutnya dilakukan oleh bank lebih-lebih lagi dalam keadaan negara baru nak pulih daripada pandemik Covid-19," katanya dalam Wacana Sinar Harian bertajuk Lelong, bankrup dan gulung tikar pasca pandemik pada Khamis.

Mengulas lanjut, 4PM yang juga sebuah badan bukan kerajaan (NGO) telah membantu ramai peminjam terutama untuk berunding dengan pihak bank mengenai jumlah bayaran bulanan.

"Kami akan tolong untuk berbincang dengan pihak bank dan ada juga kes yang kami bantu peminjam untuk keluar daripada status muflis itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan terdapat lima bank di negara ini yang menjual hutang lapuk kepada pihak ketiga.

"Sepatutnya hutang lapuk untuk tempoh enam tahun ke atas tidak boleh dijual.

Tetapi, bank masih jual kepada pihak tertentu.

"Ramai yang mengadu kepada 4PM kenapa tidak diberikan notis bahawa pinjaman tersebut bukan dengan bank lagi.

Pengadu ini diganggu dan diugut oleh pemungut hutang yang menuntut hutang.

"4PM pernah cuba berunding dengan pembeli hutang itu dan mereka berkeras tidak mahu beri kerjasama.

Akhirnya kami kembali berbincang dengan bank asal dan memberitahu mereka mengenai akta yang mereka langgar ini," katanya.

Beliau turut mendedahkan terdapat pengadu yang akaun mereka diletakkan status sebagai 'special attention account' walaupun hutang lapuk itu telah dijual kepada pihak ketiga.

"Ia menunjukkan bank bersekongkol dengan pihak ketiga tersebut dan perkara ini perlu diambil perhatian.

Kami sendiri telah membuat laporan kepada Bank Negara tetapi tidak dapat maklumbalas," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!