Bukan sebab wang

Zii Jia membuat keputusan untuk bergerak secara profesional.
Zii Jia membuat keputusan untuk bergerak secara profesional.
A
A
A

JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa faktor wang menjadi punca dia membuat keputusan keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Biarpun mengakui BAM memiliki fasiliti terbaik untuk meneruskan kerjayanya, Zii Jia berkata, ada sebab yang tidak dapat didedahkan ketika ini yang mempengaruhinya membuat keputusan untuk bergerak secara profesional.

"Saya tahu ramai orang cakap yang saya dapat tawaran lumayan di luar dan mungkin disebabkan duit saya keluar BAM. Saya tidak boleh menghalang apa orang mahu cakap kerana mereka ada fikiran mereka sendiri dan saya pun ada pendirian saya.

"Ini bukan keputusan yang mudah, saya ambil masa yang lama memikirkan mengenai perkara itu. Saya berharap BAM akan memberi restu kepada saya (bergerak secara profesional).

"Saya akan beri penjelasan sepenuhnya mengenai semua ini selepas BAM umum keputusan mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pada Khamis.

Pada Rabu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan badan induk badminton negara itu ada menerima surat peletakan jawatan daripada Zii Jia pada 11 Januari lalu.

Bagaimanapun, keputusan sama ada BAM menerima atau sebaliknya peletakan jawatan berkenaan hanya akan diumumkan Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dalam satu media yang akan diadakan pada Jumaat.

Mengulas mengenai haluan baharunya jika BAM menerima surat peletakan jawatannya itu, Zii Jia berkata, dia sedar dengan cabaran yang bakal dihadapinya apabila bergerak secara profesional.

Artikel Berkaitan:

"Saya ada kawan seperti (pemain beregu campuran profesional) Lai Pei Jing. Dia ada kongsikan mengenai kesukaran untuk mencari penaja di luar.

"Apapun, kita tunggu dulu pengumuman daripada BAM dan selepas itu saya akan beri penjelasan," katanya yang muncul juara Seluruh England tahun lalu.