'Bukan lagi kais pagi makan pagi'

Madeline
Madeline
A
A
A

SHAH ALAM - Krisis kesihatan akibat penularan Covid-19 yang ditambah buruk dengan kemeruduman ekonomi, konflik politik dan bencana banjir menyebabkan segelintir rakyat kini bukan sahaja terpaksa hidup ibarat kais pagi makan pagi bahkan ada yang tiada makanan untuk dijamah.

Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata, oleh itu sekarang menjadi waktu terbaik untuk melakukan reformasi agar unsur kemanusiaan turut diterap dalam ekonomi termasuk dalam soal melibatkan institusi kewangan dan peminjam.

"Kita mahu memanusiakan ekonomi agar ekonomi bukan hanya mementingkan atau mengutamakan kantung atau poket sesetengah individu sebab kita tahu ada sesetengah syarikat yang untungnya luar biasa masa Covid-19 tapi jumlah orang yang tersungkur gulung tikar pun ramai.

"Di luar sana (ramai rakyat) bukan sahaja kais pagi makan pagi tapi ada yang tak ada benda pun untuk dikais," katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-318 bertajuk 'Lelong, Bankrup dan Gulung Tikar yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada malam Khamis.

Dua lagi panelis yang bergandingan bersama Madeline adalah Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia, Rosland Mohd Arif dan Penasihat Korporat Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia, Khairul Anuar Abd Rahman manakala personaliti televisyen, Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Barisan panel Wacana Sinar Edisi Ke-318 bertajuk 'Lelong, Bankrup dan Gulung Tikar yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada malam Khamis.
Barisan panel Wacana Sinar Edisi Ke-318 bertajuk 'Lelong, Bankrup dan Gulung Tikar yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada malam Khamis.

Ismail terdahulu bertanya beliau sama ada bersetuju dengan pandangan bahawa wujud sistem ekonomi kapitalis yang berat sebelah apabila bank mencatatkan margin keuntungan yang tinggi sepanjang tahun 2020 dan 2021 tetapi ramai rakyat bawahan menderita mungkin disebabkan perniagaan gulung tikar, tidak mampu bayar hutang serta sesetengah bank tidak ingin melaksanakan moratorium atas pelbagai alasan.

Mengulas lanjut, Madeline memberitahu, beliau bersetuju wujud sistem kapitalis apabila ada pihak yang memberi pinjaman menekan pihak yang mendapat pinjaman ketika keadaan sukar.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, tegas beliau, waktu ini menjadi masa terbaik kepada institusi kewangan di negara ini untuk menunjukkan bahawa mereka berada teguh di sisi rakyat dan sama-sama membantu rakyat untuk kembali bangkit.

"Kalau kita lihat dalam tempoh Covid-19 banyak institusi kewangan membuat keuntungan tetapi takkanlah tidak boleh beri (kelonggaran kepada peminjam) kerana situasi sekarang adalah luar biasa.

"Situasi ini tidak pernah berlaku dalam negara kita. Sebelum ini memang kita dah ada krisis kewangan pada 1997 dan 2008 tetapi ketika ini krisisnya bertimpa-timpa antara kesihatan, ekonomi, politik dan (bencana) banjir.

"Jadi dalam keadaan begitu sukar seperti ini maka di sini perlu ada tuntutan kemanusiaan. Institusi kewangan inilah masa terbaik untuk menunjukkan bahawa 'we stand together'," katanya.

Menurutnya, sifat timbang rasa itu penting bagi institusi kewangan kerana sekiranya ekonomi runtuh kesannya pada institusi kewangan sendiri selain institusi kewangan itu sendiri tidak boleh wujud tanpa adanya peminjam atau pencarum.

"Jadi janganlah dalam keadaan ibarat orang dah tercungap-cungap kita tarik tabung bantuan pernafasan dia," katanya.