X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Covid-19: Sabah rekod satu lagi kluster institusi pendidikan

Gambar Hiasan
A
A

KOTA KINABALU - Kluster Pandan-Pandan di Putatan menjadi kluster terbaharu institusi pendidikan di Sabah dengan 16 kes kumulatif direkodkan setakat ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata, Kluster Pandan-Pandan melibatkan jangkitan di Madrasah Darul Hadis Sabah, Kampung Pandan-Pandan dengan kes indeks membabitkan seorang guru lelaki berusia 53 tahun.

"Kes indeks bergejala demam, batuk, selsema dan sakit badan pada 17 Januari dan hasil ujian saringan pada hari sama mendapati beliau positif Covid-19.

"Saringan terhadap kontak rapat mendapati 15 orang disahkan positif terdiri daripada keluarga kes indeks, kakitangan dan pelajar. Semua kes positif telah dikuarantin dan menerima rawatan yang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis malam.

Sebelum ini, dua kluster institusi pendidikan direkodkan membabitkan Kluster Jalan Kepayan Lama dengan 36 kes dan Kluster Jalan Pertukangan, 73 kes.

Sementara itu, Masidi berkata, sebanyak 256 kes baharu Covid-19 direkodkan pada Khamis menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 245,079 kes.

Beliau berkata, sebanyak 223 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif 237,297 orang manakala dua kematian akibat pandemik itu turut direkodkan pada Khamis.

Dalam pada itu, katanya, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina, Kerajaan Sabah membenarkan aktiviti makan besar pada 31 Januari, kunjungan (ziarah) (31 Jan hingga 15 Feb), upacara sembahyang (1 dan 2 Feb), sembahyang khas Hokkien (8 dan 9 Feb) dan sembahyang Chap Goh Mei (15 Feb), dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Turut dibenarkan resepsi sempena sambutan itu, persembahan tarian singa, naga, unikorn, dan harimau pada 31 Januari sehingga 15 Februari.

Masidi berkata, antara SOP ditetapkan adalah pemakaian pelitup muka, satu meter penjarakan fizikal, tiada aktiviti bersentuhan, mematuhi tempoh waktu ditetapkan serta kapasiti ruang terhad kepada 50 peratus. Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!