X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Khalid boleh berpoligami, kena serah banglo dan 'penthouse'

Khalid
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu membenarkan Khalid Abd Samad berpoligami selepas bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu bersetuju untuk menunaikan hak-hak isterinya, Dr Zaiton Abu Bakar.

Ia susulan Hakim Abdul Halim Abdullah membenarkan permohonan pembelaan daripada Zaiton untuk membuat penyelesaian secara baik dengan suaminya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Memetik laporan Utusan Malaysia, peguam dari Tetuan Asri Musa & Co, Nurfarhana Abd Manaf berkata, Zaiton diminta untuk berbincang secara baik dengan Khalid bagi memastikan hak-hak sebagai isteri pertama ditunaikan.

Beliau berkata, satu perjanjian persetujuan antara Khalid dengan Zaiton selaku defendan antaranya adalah nafkah isteri direkod dan diputuskan di hadapan hakim.

“Khalid sebagai plaintif bersetuju, akan memberikan sebuah rumah banglo diduduki mereka sekarang berserta sebuah 'penthouse' yang mana kedua-duanya terletak di Shah Alam ditukar kepada Zaiton.

“Kemudian beliau juga bersetuju memberikan sebuah kenderaan yang sedang digunakan iaitu Proton X70 selain tambahan elaun iaitu kad kredit kepada defendan.

"Selain itu dalam perjanjian tersebut turut direkodkan nafkah bakal isteri yang akan diberikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau berkata, penukaran nama terhadap hartanah dan kereta atas nama Zaiton akan dilakukan sebaik sahaja bayaran sewa beli dan ansuran diselesaikan.

Pada 8 Disember 2021, Zaiton memfailkan pembelaan dan tuntutan balas terhadap permohonan poligami oleh suaminya di Mahkamah Tinggi Syariah dalam prosiding di hadapan Pendaftar Mahkamah, Norbyetty Mohd Nasir.

Mahkamah membenarkannya dan menetapkan sebutan semula pada 20 Disember tahun sama.

Sementara itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah ketika dihubungi enggan mengulas mengenai keputusan mahkamah itu.

Ini kerana beliau tidak mahu mengaitkan isu peribadinya dengan pendiriannya dalam parti.

“Itu benda peribadi, tak perlulah diulas, isu lain saya boleh ulas, tetapi isu ini adalah hal peribadi saya,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!