Faisal belum terima kontrak kelab luar negara

Faisal masih mempunyai baki kontrak selama satu musim dengan TFC.
FOTO: FB TFC
Faisal masih mempunyai baki kontrak selama satu musim dengan TFC. FOTO: FB TFC
A
A
A

PENYERANG prolifik Terengganu FC (TFC), Faisal Halim mendedahkan dia belum menerima tawaran kontrak secara rasmi daripada mana-mana kelab dari luar negara.

Menurut Faisal, sehingga kini dia tidak mendengar sebarang khabar berita daripada dua kelab Eropah yang dikatakan berminat dengan potensinya ketika dipilih menyertai skuad Harimau Malaya tahun lalu.

“Memang kelab tersebut ada menghubungi ejen, tetapi tidak ada jalan cerita yang jelas dan nyata, tidak 100 peratus betul.

“Selepas panggilan itu, mereka (kelab luar negara) pun dah senyap. Jadi takkan saya pula nak beria hubungi mereka,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pramusim di Stadium Gong Badak, Kuala Nerus pada Khamis.

Berikutan itu, Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan Mickey mahu memberi fokus kepada persiapan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal membuka tirai Februari ini.

Faisal berkata, kontraknya bersama skuad Penyu masih berbaki satu musim dan tumpuan penuh diperlukan bagi mencapai misi menjulang sekurang-kurangnya satu piala pada musim 2022.

“Saya tidak ada masalah dengan Terengganu kerana di sini pun tempat yang sangat sesuai untuk kembangkan bakat dan karier.

“Saya harap dapat meneruskan momentum baik musim lepas seterusnya menghadiahkan satu piala kepada penyokong Terengganu,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Pemain kelahiran Pulau Mutiara itu mempamerkan aksi cemerlang bersama TFC dalam saingan Liga Super musim 2021 dengan meledak empat gol dan enam gol pada kempen Piala Malaysia.