Kluster Covid-19: Tiada keperluan tutup sekolah berasrama

Khairy Jamaludin mengadakan sidang media di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Khairy Jamaludin mengadakan sidang media di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada keperluan untuk menutup sekolah berasrama walaupun terdapat peningkatan kluster Covid-19 di sekolah itu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia berikutan kes yang dilaporkan sebahagian besarnya hanya melibatkan gejala ringan ataupun tidak gejala.

Katanya, penutupan sekolah itu juga dilihat sebagai langkah ke belakang memandangkan peratusan vaksinasi remaja telah mencapai 90 peratus.

"Jangkitan Covid-19 ini adalah perkara yang akan berlaku dan kita tidak boleh lari daripada jangkitan.

"Selagi kesan gejala jangkitan itu tidak teruk, mereka boleh diasingkan di asrama atau di rumah,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen pada Khamis.

Terdahulu Khairy memaklumkan, sebanyak 52 kluster pendidikan termasuk 27 sekolah berasrama dikesan bagi tempoh Minggu Epid Satu tahun ini hingga semalam.

Daripada 52 kluster itu katanya, didapati 44 kluster dengan kes indeks melibatkan pelajar manakala lima kluster adalah guru atau pensyarah dan tiga kluster bagi staf sokongan pusat pendidikan.

“Perkumpulan ramai telah meningkatkan risiko penularan jangkitan sekali gus menyebabkan jumlah kluster di sekolah pada minggu pertama persekolahan sebanyak 15 kluster.

Artikel Berkaitan:

“Pada minggu kedua persekolahan, bilangan kluster pendidikan meningkat sekali ganda kepada 33 dengan semua negeri melaporkan kluster kecuali Perlis, Terengganu, Sarawak dan Labuan,” katanya.

Mengulas lanjut Khairy berkata, antara faktor yang dikenalpasti menyebabkan peningkatan jangkitan adalah disebabkan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa dan selepas waktu persekolahan formal, terutamanya di asrama.

"Amalan pemakaian pelitup muka semasa berada di asrama juga tidak di tahap optimum, pergerakan pelajar yang bebas semasa berada di asrama dan pergaulan rapat di asrama,” katanya.