Banjir di Selangor: Juwairiya bidas kenyataan PM

Juwairiya
Juwairiya
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyalahkan segelintir pihak berikutan kejadian banjir luar jangka di Selangor pada 18 Disember lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati menerusi ciapan di Twitter berkata, menjadi tanggungjawab Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjaga seluruh negara yang ditimpa bencana.

"Adalah satu kenyataan tidak bertanggungjawab untuk seorang PM mengatakan 'sesetengah pihak’ tidak peduli amaran (cuaca) tersebut hingga perlu campur tangan (kerajaan) pusat.

"This is not a blame game! Menjadi tanggungjawab MKN untuk jaga seluruh negara yang dalam bencana," menerusi ciapan Twitter pada Khamis.

Ismail Sabri ketika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Khamis memberitahu terpaksa campur tangan isu banjir di Selangor berikutan kelemahan yang dikenal pasti di peringkat negeri dan daerah.

Beliau berkata, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah mengeluarkan enam kali amaran cuaca signifikan yang boleh menyebabkan hujan lebat termasuk di Selangor namun tidak diendahkan sesetengah pihak.

Juwairiya berkata, Selangor tidak diramalkan mengalami banjir besar berdasarkan laporan dikeluarkan MetMalaysia.

"Pun begitu, kerajaan negeri tetap membuat persiapan bencana hujung tahun yang disifatkan normal dan bukan tahap bencana besar.

Artikel Berkaitan:

"Hanya pada petang 18 Disember, ramalan MetMalaysia menunjukkan tahap bahaya bagi negeri Selangor walaupun hujan lebat berterusan sejak 17 Disember," katanya.