X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Majoriti CEO Malaysia jangka pertumbuhan global lebih kukuh

CEO di Malaysia merupakan antara yang paling optimis mengenai prospek ekonomi global pada 2022 berbanding rakan setara mereka di Asia Pasifik. Gambar hiasan
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) di Malaysia merupakan antara yang paling optimis mengenai prospek ekonomi global pada 2022 berbanding rakan setara mereka di Asia Pasifik, menurut kajian terkini oleh PricewaterhouseCoopers (PwC).

Kaji Selidik CEO Global Tahunan - Asia Pasifik Ke-25 PwC, dengan 4,446 CEO global sebagai responden antara Oktober - November 2021, mendapati keyakinan semakin meningkat di kebanyakan negara di Asia Pasifik, dengan 76 peratus daripada responden menjangka pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh pada tahun akan datang.

Ia turut menunjukkan bahawa kira-kira 92 peratus daripada CEO di Malaysia optimis bahawa pertumbuhan ekonomi global akan berubah dalam tempoh 12 bulan akan datang, memberikan prospek yang baik kepada negara.

Malaysia berada hampir selepas India (94 peratus), dengan Singapura hanya di belakang Malaysia (91 peratus).

Bagaimanapun, CEO di China berasa kurang optimis berbanding tahun lepas, merosot sembilan mata kepada 62 peratus.

"Tiada apa-apa yang "normal” mengenai dunia, dan kita sedang membiasakannya.

"Kami menyaksikan perbezaan dari segi keyakinan antara negara, dan tiada kekurangan cabaran untuk menghadapinya tetapi adalah menggalakkan apabila CEO yang kami temu bual secara keseluruhannya positif mengenai 2022,” kata Pengerusi PwC Global Bob Moritz dalam kenyataan hari ini.

Walaupun 50 peratus ‘amat yakin’ mengenai prospek pertumbuhan pendapatan mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang, CEO turut menyedari mengenai potensi ancaman yang boleh memberi impak kepada syarikat mereka.

Dalam kalangan CEO Malaysia, kebimbangan mengenai turun naik makroekonomi mendahului senarai ancaman sebanyak 76 peratus dalam persekitaran risiko yang semakin meningkat dalam ketidaktentuan pasaran kewangan yang meningkat dan pelarasan dasar monetari dalam ekonomi utama, diikuti risiko kesihatan (69 peratus) dan risiko siber (67 peratus).

Sementara itu, CEO Asia Pasifik mendahului rakan setara mereka di peringkat global dari segi komitmen sifar bersih dan neutral karbon berikutan 60 hingga 69 peratus daripada mereka telah menyatakan atau meningkatkan komitmen terhadap sifar bersih dan/atau neutral karbon.

Selain itu, sebanyak 77 peratus daripada CEO Asia Pasifik didapati pendekatan mereka telah dinilai dan disahkan secara bebas.

Jumlah yang lebih tinggi daripada CEO Asia Pasifik (43 peratus berbanding 37 peratus daripada CEO global) turut menetapkan sasaran pelepasan dalam strategi mereka.

"CEO Malaysia mencapai kemajuan yang menggalakkan dengan hampir 50 peratus ke arah mengukuhkan komitmen sifar bersih mereka, walaupun hanya 18 peratus telah menyatakan komitmen sedemikian (berbanding 26 peratus daripada CEO Asia Pasifik).

"Terdapat merit untuk berbuat demikian dan perniagaan perlu mengambil peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil untuk meneruskan tindakan dalam matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat berikutan inisiatif penting baru-baru ini seperti Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) 2021,” kata Rakan Pengurusan PwC Malaysia Soo Hoo Khoon Yean. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!