Sultan Selangor berharap penjawat awam mempunyai integriti tinggi

Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Sharafuddin Idris Shah
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap penjawat awam khususnya di Selangor mempunyai integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

"Beta berharap agar penjawat awam menjalankan tugas dengan amanah, menjauhi rasuah dan peka dengan masalah yang dihadapi rakyat,” titah baginda di Majlis Pelancaran Buku From AS to AG - Reminiscence of a PTD Officer karya Tan Sri Ambrin Buang di sini pada Khamis.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan hadir di majlis itu.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), Tan Sri Abdul Halim Ali.

Baginda bertitah, Ambrin merupakan Ketua Audit Negara paling lama iaitu selama 11 tahun dan telah mengemudi tugasnya dengan cemerlang.

"Beta berterima kasih atas khidmat bakti ketika beliau berkhidmat di Selangor,” titah baginda.

Ambrin yang telah berkhidmat di peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri selama 46 tahun, pernah menyandang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dari 1999 hingga 2001. - Bernama

Artikel Berkaitan: