Sila log masuk terlebih dahulu.

Dedah jika ada perjanjian air Kedah-Pulau Pinang

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pulau Pinang diminta mendedahkan sebarang perjanjian yang membuktikan negeri itu tidak perlu membayar caj sumber air yang diabstrak dari Sungai Muda kepada Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pulau Pinang perlu merujuk kepada Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 yang dikuatkuasakan, yang memberi hak kepada kerajaan negeri ke atas sumber air.

Menurutnya, negeri jiran itu tidak perlu berdolak dalih dengan mendakwa terdapat akta yang membolehkan mereka mengabstrak secara percuma sumber air mentah terbabit.

“Memang sejak dahulu tiada pihak perlu bayar kepada sesiapa untuk gunakan sumber air kerana tidak ada WSIA.

“Keadaan itu berubah apabila WSIA 2006 dikuatkuasakan dan kerajaan negeri berkuasa penuh ke atas sumber air. Manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pula sebagai regulator,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan pra pelancaran hab e-dagang di Bukit Kayu Hitam dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara KT Express Logistics Sdn Bhd dengan Invest Kedah Berhad, di Wisma Darul Aman, pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, sejak itu, sumber air adalah bawah bidang kuasa negeri dan dilantik operator bagi mengendalikan bekalan kepada pengguna.

“Kuasa yang ada itu bagi sumber air merangkumi kawasan tadahan, lembangan sungai dan aliran air. Mana-mana pihak yang mendapat faedah daripada itu yang merupakan milik kita (Kedah) perlu bayar sumber berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian bagi menepis dakwaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang menyatakan Pulau Pinang tidak mempunyai obligasi untuk membayar kepada Kedah bagi kerja-kerja mengabstrak air mentah dari Sungai Muda dan kawasan tadahan Ulu Sungai Muda di Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa dipetik berkata, Pulau Pinang mengabstrak air dari sebelah negeri itu dan ia dibuat berdasarkan Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) yang tidak menyebut sebarang bayaran untuk pengambilan air mentah.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi tegaskan, Pulau Pinang dan Kedah tidak mempunyai sebarang perjanjian sah yang membuktikan tiada pembayaran perlu dibuat bagi pengambilan air mentah Sungai Muda dan kawasan tadahan Ulu Sungai Muda.

"Obligasi yang beliau maksudkan itu sudah lupus selepas pelaksanaan WSIA pada 2006. Jangan lagi cerita hal 60-an, itu perkara lama, sekarang tahun 2022.

“Saya tidak pasti ada atau tidak perjanjian, jika ada Pulau Pinang boleh bekalkan kepada saya. Difahamkan, dahulu ada deraf perjanjian kerana Pulau Pinang mahu buat pinjaman kepada bank antarabangsa, perjanjian yang betul-betul saya tidak pasti ada atau tidak. Jika ada (perjanjian) sila tunjukkan,” katanya lagi.

Menurutnya, Syarikat Air Darul Aman (SADA) turut membuat bayaran kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) bagi menggunakan sumber air negeri, sebelum dibekalkan kepada pengguna.

Pada 1 Januari, kerajaan negeri Kedah mengumumkan melantik peguam bagi mendapatkan konsultasi menguruskan tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang.

Sebelum ini, Kedah mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah RM50 juta setahun berikutan PBAPP mendapatkan bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan tidak akan membuat sebarang bayaran pajakan kepada Kedah, malah tegaskan kerajaan Persekutuan juga tidak perlu membayar sebarang tuntutan luar daripada perjanjian sedia ada.

Kon Yeow sebaliknya bersedia bersemuka dengan kerajaan Kedah di mahkamah bagi menyelesaikan isu yang dibangkitkan sejak 10 tahun lalu.