Anak pengasas Dnars dilepas tanpa bebas kes ugut bapa tiri

Mohd Aqbar (kiri) dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis atas petuduhanan mengugut bapa tirinya, dua tahun lalu.
Mohd Aqbar (kiri) dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis atas petuduhanan mengugut bapa tirinya, dua tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anak lelaki pengasas kosmetik Dnars dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tuduhan menghantar ugutan mahu menyebabkan kematian terhadap bapa tirinya dua tahun lalu.

Majistret S Mageswary memutuskan demikian selepas pendakwaan memaklumkan bahawa pengadu dan mangsa tidak hadir ke mahkamah untuk memberi penjelasan berhubung hasrat mereka untuk tidak mahu meneruskan kes terhadap Mohd Aqbar Hakim Jasman, 22.

“Mohd Aqbar, mahkamah melepas tanpa membebaskan kamu dengan mengambil kira pengadu, walaupun telah diserahkan sepina, namun pengadu gagal hadir tanpa alasan kukuh.

“Maka mahkamah DNAA kes kamu terlebih dahulu. Selepas ini terpulang kepada pihak pendakwaan sama ada mahu menuduh semula atau tidak, jadi keputusannya, kes ini di DNAA, wang jaminan dikembalikan kepada tertuduh,” katanya.

Semasa prosiding yang dijadualkan untuk sebutan kes, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang berkata, pihaknya mendapati mangsa iaitu bapa tiri tertuduh dan isterinya selaku pengadu tidak hadir di mahkamah.

Beliau berkata, pegawai penyiasat juga mengesahkan kedua-dua pihak itu telah dimaklumkan mengenai tarikh prosiding.

"Sepina telah dikeluarkan menggunakan kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp dan ia diterima oleh pengadu iaitu saksi-saksi bagi kes ini.

"Bagaimanapun, tiada alasan diberikan atas ketidak hadiran mereka," katanya menjawab soalan Majistret berhubung serahan sepina kepada pengadu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, beliau memohon kepada mahkamah untuk menetapkan tarikh perbicaraan dengan kehadiran pengadu dan tertuduh supaya ia dapat diselesaikan melalui perbicaraan penuh.

Sebelum ini beliau berkata, perbicaraan kes sepatutnya bermula Disember lalu, namun tertuduh ketika itu berada di luar negara dan tidak hadir pada prosiding yang ditetapkan.

Sementara itu, peguam, Izzat Nordin mohon untuk direkodkan bahawa pihaknya sudah bersedia untuk meneruskan prosiding yang ditetapkan pada Khamis.

Katanya, berdasarkan perkembangan baharu, pengadu telah menarik balik FRI, yang dibuat dan tidak berniat untuk meneruskan kes.

"Saya percaya jika pengadu hadir hari ini, tujuannya untuk memberi penjelasan kenapa beliau mahu bertindak sedemikian.

"Kini, terpulang kepada pihak pendakwaan sama ada mahu meneruskan kes atau tidak," katanya.

Beliau berkata, kes ini kali pertama disebut adalah pada 23 Jun 2020 dan pihaknya telah menghantar representasi supaya menggugur kes.

Katanya, ia tidak lebih kepada perselisihan faham dalam keluarga, namun malangnya selepas dua tahun turun naik mahkamah, membazirkan masa, wang dan tenaga terutamanya kepada pihak mahkamah, pengadu secara tiba-tiba mahu menarik balik kes.

Selepas dua tahun beliau berkata, pengadu yang kononnya menjadi mangsa tetapi akhirnya menarik balik kes sedang tarikh perbicaraan telah ditetapkan.

"Bagi kes ini kami mahukan penjelasan bersumpah daripada mereka kenapa mahu menarik balik kes," katanya.

Mohd Aqbar yang juga anak sulung kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban didakwa menakutkan Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 45, dengan ugutan hendak menyebabkan kematian melalui pesanan ringkas aplikasi WhatsApp.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pusat beli belah Pavilion, Jalan Bukit Bintang di sini jam 8.45 malam pada 15 Jun 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.