Lebih 380,000 terima vaksin dos penggalak

Dr Nor Azimi (belakang, dua kanan) meninjau program outreach pemberian vaksin dos penggalak kepada kumpulan OKU di PDK Kompleks Penyayang JKM Pahang di sini pada Khamis.
Dr Nor Azimi (belakang, dua kanan) meninjau program outreach pemberian vaksin dos penggalak kepada kumpulan OKU di PDK Kompleks Penyayang JKM Pahang di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 380,002 individu di negeri ini menerima vaksin dos penggalak Covid-19 sehingga Rabu dan pencapaian itu kira-kira 36.2 peratus berbanding 1.01 juta penduduk yang disasarkan.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 207 pusat pemberian vaksin ( PPV) termasuk sembilan PPV awam yang dibuka minggu lalu bagi meningkatkan pencapaian vaksin dos penggalak di negeri ini,

Menuut beliau, jumlah PPV itu termasuk 81 PPV Klinik Kesihatan (KK), PPV KK lepas waktu pejabat (6), hospital kerajaan (11), PPV swasta (78), PPV di luar fasiliti kesihatan swasta (9) dan hospital swasta (2)

"Melalui semua PPV yang dibuka itu, kapasiti hariannya mencapai lebih 20,700 penerima setiap hari tidak termasuk program jangkau luar," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau program pemberian vaksin dos penggalak kepada kumpulan orang kurang upaya (OKU) Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kompleks Penyayang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang di sini pada Khamis.

Seramai 44 OKU daripada 86 penerima yang disasarkan menerima suntikan vaksin dos penggalak melalui program tersebut.

Dr Nor Azimi (belakang, tiga kiri) meninjau program pemberian vaksin dos penggalak kepada kumpulan OKU di PDK Kompleks Penyayang JKM Pahang di sini pada Khamis.
Dr Nor Azimi (belakang, tiga kiri) meninjau program pemberian vaksin dos penggalak kepada kumpulan OKU di PDK Kompleks Penyayang JKM Pahang di sini pada Khamis.

Nor Azimi berkata, sekiranya kapasiti harian yang tinggi itu berjaya dipenuhi setiap hari, jangkaan prestasi vaksin dos penggalak di negeri ini mampu mencapai 100 peratus dalam tempoh sebulan setengah.

Sementara itu katanya, seramai 25,508 OKU di negeri ini lengkap menerima dua dos vaksin dan setakat ini hanya 32 peratus daripada jumlah itu menerima vaksin dos penggalak.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, terdapat kira-kira 400 warga emas dan OKU terlantar di rumah dan pemberian dos itu dilakukan secara rumah ke rumah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Nor Azimi memberitahu, JKNP tidak mempunyai maklumat atau menerima sebarang aduan berhubung penjualan sijil vaksinasi digital palsu di klinik swasta di negeri ini.

Menurutnya, sekiranya ada aduan, perkara itu akan disiasat.

"Perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai pengamal perubatan yang berdaftar perlu ada tanggungjawab dan integriti. Orang ramai yang enggan menerima vaksin pula tidak wajar membeli sijil vaksin digital itu kerana akan menyukarkan orang lain," katanya.