Bongkah batu halang lori buang sampah haram

Pintu masuk ke tapak kosong milik kerajaan Persekutuan di BK8, Bandar Kinrara di sini dihalang dengan bongkah batu besar
Pintu masuk ke tapak kosong milik kerajaan Persekutuan di BK8, Bandar Kinrara di sini dihalang dengan bongkah batu besar
A
A
A

PUCHONG - Tiada lori dikesan memasuki tanah milik kerajaan Persekutuan di Bandar Kinrara 8 (BK8) di sini sejak ia ditutup oleh pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akibat pembuangan sampah haram di kawasan tersebut.

Tinjauan Sinar Harian di tapak tersebut pada Khamis mendapati laluan masuk ke kawasan berkenaan dihalang oleh bongkah batu besar.

Bagaimanapun, hasil tinjauan mendapati timbunan sampah haram masih kelihatan di beberapa kawasan dalam tapak berkenaan.

Malah terdapat beberapa buah rumah setinggan dipercayai milik pekerja warga asing masih kelihatan di tapak tersebut.

Beberapa rumah dipercayai milik pekerja asing yang bekerja di tapak pembinaan berhampiran masih ada di tapak berkenaan.
Beberapa rumah dipercayai milik pekerja asing yang bekerja di tapak pembinaan berhampiran masih ada di tapak berkenaan.

Sinar Harian sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak terbabit tentang tindakan susulan yang akan diambil oleh mereka berkenaan perkara tersebut.

Pada Rabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pihak MBSJ menutup kawasan tersebut minggu lalu setelah aduan tentang pembuangan sampah haram dikesan beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, aktiviti pembuangan sampah haram meliputi sisa pembinaan terus berlaku sejak beberapa hari lepas, malah terdapat juga penempatan haram pekerja binaan di kawasan ini.

Artikel Berkaitan:

Timbunan sampah haram yang dibuang di tapak kosong milik kerajaan Persekutuan di BK8 Bandar Kinrara di sini.
Timbunan sampah haram yang dibuang di tapak kosong milik kerajaan Persekutuan di BK8 Bandar Kinrara di sini.

“Pihak MBSJ melalui Ahli Majlis Kawasan (MPP Zon 18), Mehanathan Embamurthi mengaturkan pertemuan dengan agensi-agensi berkaitan iaitu Jabatan Pengurusan Alam Sekitar MBSJ, Pejabat Daerah dan Tanah PDT) Petaling, serta pegawai Ibu Pejabat Daerah Polis Serdang di kawasan tersebut.

“Pihak MBSJ membawa jentera pengorek untuk membuka kembali saluran longkang yang ditutup dan seterusnya menghalang akses lori-lori dan kenderaan berat daripada memasuki kawasan ini.

“Mesyuarat susulan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga akan dibuat untuk mengatasi isu ini memandangkan tapak tersebut adalah hak milik KPM,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.