[VIDEO] Long Tiger dipenjara 12 bulan

Abdul Hamim (tiga, kiri) diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak di sini pada Khamis.
Abdul Hamim (tiga, kiri) diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak di sini pada Khamis.
A
A
A

TANGKAK - Seorang lelaki berketurunan Rohingya dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini kerana melarikan diri daripada tahanan polis pada 15 Disember 2021 lalu.

Tertuduh, Abdul Hamim Ab Hamid, 33, atau lebih dikenali sebagai Long Tiger membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Zaridah Y Abdul Jaapar, pada Khamis.

Dalam pendakwaannya, Zaridah turut memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 Disember 2021 di Penjara Kluang.

Mengikut pertuduhan, Abdul Hamim didakwa dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana tertuduh telah ditahan secara sah di sisi undang-undang atas kesalahan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret Tangkak di sini, kira-kira jam 11.55 pagi, pada 15 Disember 2021.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melarikan diri daripada lokap mahkamah dengan menggunakan alasan untuk membuang air besar dan telah meminta anggota polis yang ditugaskan untuk membuka gari.

Tertuduh kemudiannya mengambil kesempatan untuk lolos daripada tahanan ketika melihat pintu sel tidak berkunci dan bertindak melarikan diri keluar dengan menghala ke pintu utama mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Ketika melarikan diri, tertuduh juga telah dikejar beberapa anggota polis, namun berjaya lolos dengan bersembunyi di kawasan semak-samun berhampiran mahkamah sebelum berjaya melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut menetapkan tarikh 14 dan 16 Februari depan bagi bicara empat kes melibatkan Abdul Hamim iaitu mengikut Seksyen 388, 342 dan 506 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Tangkak.

Pendakwaan dikendalikan, Pengarah Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyum Rahman.

Sementara itu, tertuduh pula diwakili peguam, Datin Freda Josephine Gonzales dan Muhammad Hariz Md Yusoff.