Kerajaan teliti wujudkan Nadma peringkat negeri, daerah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) merangkap Ahli Parlimen Mersing Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berucap pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, pada Khamis. - Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) merangkap Ahli Parlimen Mersing Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berucap pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang meneliti untuk mewujudkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di peringkat negeri dan daerah bagi menjamin aspek kecekapan pengurusan serta memperkukuhkan peranannya sebagai peneraju pengurusan bencana negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, perkara itu selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Disember lalu agar struktur Nadma diteliti semula.

“Perkara ini sedang dalam tindakan Nadma bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Antara perkara yang diteliti adalah mewujudkan Nadma di peringkat negeri dan daerah, justeru diharapkan menjelang akhir sidang khas ini, kita dapat beri satu penyelesaian,” katanya pada Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggal Keempat di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sementara itu ketika mengemukakan hala tuju pengurusan bencana, Abdul Latiff berkata, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan dan tangungjawab di peringkat masyarakat perlu dipupuk.

Justeru katanya, pemantapan kerjasama agensi kerajaan, golongan akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu dirintis dalam melaksanakan aktiviti pendidikan serta kesedaran bencana kepada masyarakat awam.

"Terdapat juga keperluan untuk mengkaji semula kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah agar pendidikan serta kesedaran terhadap bencana berupaya diterapkan di peringkat awal.

"Bagi memastikan kesiapsiagaan tindak balas terhadap bencana, latih amal dan simulasi perlu diadakan dari semasa ke semasa oleh setiap peringkat jawatankuasa pengurusan bencana,” katanya.

Artikel Berkaitan: