Perak sedia bentang bajet tambahan

Saarani (tengah) menunjukkan buku Report Card 2021 pada sidang akhbar selepas Majlis Executive Talk dan Amanat dan Perutusan Tahun Baharu 2022 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
Saarani (tengah) menunjukkan buku Report Card 2021 pada sidang akhbar selepas Majlis Executive Talk dan Amanat dan Perutusan Tahun Baharu 2022 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak bersedia membentangkan belanjawan tambahan 2022 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pembentangan belanjawan tambahan itu mampu dilaksanakan berdasarkan unjuran hasil diterima pada tahun ini yang dijangka meningkat.

Menurutnya, hasil kerajaan negeri pada tahun 2021 menunjukkan peningkatan apabila penutupan akaun pada akhir tahun lalu menyaksikan lebihan atau 'surplus' dalam keadaan negara masih berdepan penularan Covid-19.

"Tahun ini akan ada kejayaan yang sama apatah lagi kalau ekonomi sudah dibuka. Pembukaan pelbagai sektor ekonomi ini akan membolehkan semua agensi lebih mudah untuk membuat kutipan hasil. Jadi pada tahun ini, insya-ALLAH kita akan mendapat kutipan hasil lebih baik.

"Semalam di dalam Mesyuarat Exco kita ada bincang perkara ini. Kita sedang meneliti dan mengkaji sama ada terdapat keperluan mendesak untuk kita buat bajet tambahan negeri. Kalau ada keperluan, duit ada, kita boleh adakan, insya-ALLAH dalam Sidang Dewan yang terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Executive Talk dan Amanat dan Perutusan Tahun Baharu 2022 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco-Exco kerajaan negeri dan pegawai kerajaan.

Beliau berkata, kejayaan mencapai lebihan belanjawan pada tahun 2021 dibantu hasil kutipan pada bulan terakhir tahun lalu daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan bayaran baki cukai tanah oleh kerajaan Persekutuan.

Saarani ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut mengumumkan kutipan hasil kerajaan negeri pada 31 Disember 2021 mencatat peningkatan sebanyak RM998.46 juta, melebihi pencapaian kutipan hasil keseluruhan tahun 2020 iaitu RM983.53 juta.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan negeri juga telah menutup akaun tahun 2021 dengan 'surplus' RM23.04 juta iaitu lebih baik berbanding sasaran dikemaskini defisit sebanyak RM110 juta.

Jelasnya, trend peningkatan tersebut bermula pada Oktober selepas Perak mula beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sementara itu, dalam ucapan tersebut juga, Saarani menggariskan lima fokus utama kerajaan negeri pada tahun 2022 iaitu Meningkatkan Hasil Negeri, Membudaya Perkhidmatan Melangkaui Kebiasaan, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat, Memantapkan Perkhidmatan dan Infrastruktur Digital serta Kesiapsiagaan Menangani Kesan Perubahan Iklim.

Pada pembentangan Belanjawan Perak 2022 yang lalu, kerajaan negeri mengumumkan peruntukan sejumlah RM1.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Peruntukan belanjawan tersebut bagaimanapun mengalami penyusutan berbanding tahun 2021 yang berjumlah RM1.215 bilion.