Kerani rugi RM41,100 ditipu kenalan FB

No Image Caption
A
A
A

MIRI - Seorang kerani pentadbiran di sini, kerugian RM41,100 selepas diperdaya kenalan Facebook yang baharu dikenalinya sejak Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata setelah berkenalan menerusi laman sosial tersebut, wanita berusia 26 tahun itu turut berhubung melalui telefon dengan lelaki yang dikenalinya dengan nama David Lee Chang.

"Suspek (David Lee Chang) menawarkan hadiah sebuah komputer riba Macbook, Iphone dan kasut kepada mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustafa berkata suspek memberitahu akan menghantar barangan tersebut kepada mangsa melalui sebuah perkhidmatan kurier, dan barangan itu sudah pun sampai di Hong Kong.

"Suspek mendakwa barangan itu akan dihantar ke Malaysia setelah pembayaran dibuat dan mangsa diminta membuat pembayaran cukai keselamatan," katanya.

Beliau berkata mangsa membuat pembayaran dalam beberapa transaksi ke dalam akaun diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM41,100.

Beliau berkata mangsa mulai sedar dirinya ditipu setelah menceritakan perkara tersebut kepada rakannya dan menyemak nombor pengesanan perkhidmatan kurier itu, namun tiada barang berkenaan yang dihantar ke Malaysia atas nama mangsa.

Beliau menasihati orang awam untuk tidak membuat sebarang pembayaran dengan individu yang baharu dikenali menerusi media sosial.

Artikel Berkaitan:

"Elakkan berurusan dengan individu yang tidak pernah bersemuka," katanya sambil menambah orang awam yang sangsi boleh menghubungi polis atau melayari laman web rasmi agensi penguatkuasa berkaitan.

Beliau berkata orang awam juga boleh melayari laman web Polis Diraja Malaysia; rmp.gov.my atau laman web JSJK; ccid.rmp.gov.my, atau Facebook JSJK Sarawak berhubung penipuan kewangan. - Bernama