Tambah baik tiga cabaran utama pengurusan bencana

Ismail Sabri Yaakob pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengenal pasti tiga cabaran utama yang perlu diberi perhatian dalam usaha memperbaiki dan menambah baik pengurusan bencana negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, masih terdapat kelemahan dari segi pemahaman terhadap Arahan Majlis Keselamatan No. 20 dalam kalangan agensi-agensi berkaitan di peringkat pusat, negeri, daerah, badan berkanun serta swasta.

Katanya, pemahaman tersebut berkaitan tanggungjawab mereka di bawah Arahan MKN No. 20 pada peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana.

Selain itu Ismail Sabri berkata, wujud kelemahan perintah dan kawalan termasuk ketiadaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di negeri dan daerah yang menyukarkan koordinasi secara terus dengan agensi di lapangan.

"Kerjasama rapat pelbagai pihak seperti kerajaan negeri dan kerajaan tempatan penting dalam memastikan keberkesanan pengurusan bencana negara pada tahap optimum.

"Struktur organisasi sedia ada juga membataskan keupayaan NADMA untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana melibatkan penduduk setempat, badan-badan bukan kerajaan dan kerajaan tempatan.

"Kekangan ini menyebabkan NADMA tidak dapat menguruskan bencana secara terus di peringkat negeri dan daerah," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggal Keempat di Dewan Rakyat pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, pengurusan maklumat dalam pengurusan bencana juga perlu ditambah baik.

Katanya, pengurusan bencana negara amat bergantung kepada maklumat dinamik yang tepat dan cepat dari lapangan.

"Pada masa ini, pengurusan bencana negara masih mengamalkan kaedah pengumpulan maklumat secara konvensional dan tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

"Situasi ini menyebabkan proses penyediaan laporan, penganalisaan, pembuatan keputusan dan pengurusan data mempunyai kelemahan yang ketara, justeru penyaluran maklumat dengan lebih pantas dan tepat kepada agensi tindak balas dan mangsa banjir masih perlu diperbaiki,” ujarnya.