Banjir: Peruntukan penyelesaian jangka panjang lebih RM300 bilion

Menteri Alam Sekitar dan Air merangkap Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Menteri Alam Sekitar dan Air merangkap Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyatakan peruntukan yang diperlukan bagi cadangan penyelesaian jangka masa panjang fonomena banjir di seluruh negara berjumlah melebihi RM300 bilion.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tempoh pelaksanaan tersebut adalah secara berfasa selama 50 tahun sehingga tahun 2100.

"Fokus adalah kepada pembangunan infrastruktur air seperti tebatan banjir, pembinaan benteng, ban, pencegahan hakisan pantai dan sebagainya yang telah mengambil kira faktor perubahan iklim," katanya semasa berucap pada Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggal Keempat di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, antara fokus penyelesaian jangka panjang melibatkan kementeriannya adalah memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim sektor air melalui pembangunan Akta Adaptasi Sektor Air sebagai strategi jangka panjang mengambil kira keperluan peningkatan tahap perlindungan infrastruktur saliran dan pantai negara.

"Di bawah akta ini, KASA akan mencadangkan penubuhan sebuah tabung khas atau kumpulan wang amanah untuk peningkatan kapasiti adaptif sektor air dan kawasan pesisir melalui pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur yang mengambil kira faktor perubahan iklim," katanya.

Beliau berkata, KASA juga akan membangunkan Pusat Adaptasi Kebangsaan bagi menyelaras dasar dan pelaksanaan adaptasi perubahan iklim, integrasi pengurangan risiko bencana dan pencegahan kehilangan serta kerosakan akibat kesan perubahan iklim melibatkan sektor-sektor mudah terancam.

Di samping itu, Tuan Ibrahim berkata, KASA akan mengambil sikap terbuka bagi mempelajari pengamalan negara-negara lain dalam pengurusan banjir.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan Belanda telah menawarkan bantuan kepada Malaysia melalui Kedutaan Belanda di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Antara bantuan yang ditawarkan ialah menghantar pasukan Dutch Risk Reduction Team (DRR) ke Malaysia bagi menilai impak fonomena banjir dan cadangan penyelesaian yang bersesuaian.

"KASA sedang berbincang dengan pelbagai pihak bagi menjayakan kolaborasi ini," ujarnya.