RM125.5 juta bantuan wang ihsan diagihkan

Ismail Sabri pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM125.5 juta telah disalurkan menerusi Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) kepada negeri terjejas banjir setakat 19 Januari tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu bagi tujuan pengagihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah.

"Sehingga 18 Januari 2022, bagi mangsa-mangsa yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), prestasi pengagihan adalah sebanyak 97.3 peratus daripada bilangan ketua isi rumah yang layak bagi gelombang pertama banjir (meliputi lapan buah negeri).

“Prestasi pengagihan bagi gelombang kedua adalah sebanyak 57.3 peratus meliputi negeri Terengganu, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Sabah dan Johor.

"Bagi mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS, prestasi pengagihan adalah sebanyak 50.8 peratus," katanya pada Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggal Keempat di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut memaklumkan, Majlis Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan RM25 juta kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) menggunakan tabung KWABBN bagi tujuan pengagihan bantuan tersebut kepada ketua isi rumah yang layak.

Bantuan tersebut katanya telah mula diberikan sejak 8 Januari lalu dan peruntukan tambahan diberikan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan semasa.

Artikel Berkaitan: